PASARAN kerja di Malaysia pada 2019 akan menyaksikan permintaan besar untuk kemahiran tinggi digital, dan majikan mendakwa pencari kerja tempatan kekurangan kemahiran itu, kata kajian pekerjaan dilakukan Jobstreet.com.
Menurut kajian Ramalan Pekerjaan Malaysia 2019 dilakukan Jobstreet.com, 96% majikan menganggap landskap bakat akan berubah tahun ini kerana wujud permintaan mendadak untuk kemahiran digital.
Majikan sama juga berpandangan yang terdapat kekurangan bakat yang mempunyai kemahiran ini.
“Mencari set kemahiran yang tepat adalah keutamaan pertama. Transformasi digital tidak dapat dielak, ketika kita mahu jadi lebih digital, syarikat perlu melalui kembara transformasi digital mereka,” kata Pengarah Urusan Jobstreet.com Malaysia Gan Bock Herm.
“Kedua, mustahak untuk jumpa bakat yang tepat. Sekarang, terdapat jumlah terhad bakat di luar sana jadi majikan perlu jadi lebih proaktif mencari calon daripada kolam bakat yang pasif.”
Laporan mencadangkan pencari pekerjaan melengkapkan diri dengan kemahiran digital bagi memenuhi kehendak majikan dalam landskap pekerjaan yang sedang berubah.
“Organisasi bukan sahaja menggunapakai teknologi tetapi juga meluaskan kolam bakat dalaman mereka dengan bakat berkemahiran untuk memacu perniagaan.
“Bakat perlu memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran tepat untuk pekerjaan ini,” katanya.

Kajian itu mendapatkan data daripada 20,343 calon pekerja berusia 18 hingga 60 tahun ke atas serta 365 majikan, dengan jawatan bermula daripada peringkat bawahan hingga pengarah dan ke atas.
Laporan juga mendapati 60% majikan sudah memulakan proses penggunaan teknologi automasi atau digital dalam syarikat mereka.
Ini menyebabkan peningkatan kakitangan syarikat sebanyak 43% dan pengurangan kakitangan sebanyak 18%, sementara 39% syarikat lagi mendakwa jumlah pekerja mereka tak berubah.
Gan berkata mustahak untuk organisasi menggaji pekerja berkemahiran untuk menyokong pertumbuhan digital yang sedang berlaku.
“Kajian Ramalan Pekerjaan 2019 menunjukkan walaupun 29% majikan yang dikaji mahu mengambil bakat baru dari luar untuk kemahiran diperlukan perniagaan, (kerana) majoriti besar majikan bersedia untuk mengekalkan dan meningkatkan kemahiran pekerja sedia ada,” katanya pada majlis anjuran Jobstreet di Petaling Jaya hari ini.
Gan menambah yang Jobsreet.com sedang bekerjasama dengan universiti awam dan swasta seluruh negara bagi memastikan graduan sedar akan kemahiran yang diperlukan pasaran kerja.
Beliau juga berkata Jobstreet juga sentiasa memaklumkan universiti tentang tren pengambilan pekerja bagi memastikan kursus ditawarkan relevan dengan pasaran kerja.
Laporan itu turut menyenaraikan lima kemahiran digital dicari majikan termasuklah pemasaran digital, pembangunan aplikasi dan perisian, e-perdagangan, data raya dan analitik pangkalan data.
Kemahiran penyelesaian masalah juga menjadi keutamaan kemahiran insaniah dicari majikan. – 17 Januari, 2019.
Komen