PEGUAM Najib Razak sedang berusaha mendapatkan penangguhan perbicaraan jenayah pertamanya, tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dalam skandal kewangan rentas dunia 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah hari ini menulis kepada mahkamah memohon supaya perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 12 Februari ditunda.
Najib berdepan tujuh pertuduhan berkaitan habuan RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MBD.
Pada 4 Julai lalu, beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan bawah Akta SPRM berkaitan RM42 juta daripada SRC. Seterusnya pada 8 Ogos, beliau berdepan tiga lagi pertuduhan berkaitan kes sama.
Tindakan menangguhkan bicara dipersoalkan beberapa orang peguam yang membangkitkan isu bahawa pasukan peguam pembelaan Najib mempunyai tempoh sekurang-kurangnya tujuh bulan untuk bersedia.
Beberapa peguam kanan tidak yakin permohonan Shafee akan diluluskan.
“Ia sangat bergantung kepada sebab diberikan. Ia (sebab) itu perlu luar biasa,” kata seorang peguam yang enggan dinamakan.
Beberapa orang peguam lain juga percaya mahkamah tinggi akan menolak permohonan Shafee itu.
Jika disabitkan bersalah atas pertuduhan itu, Najib berdepan hukuman penjara antara 2 hingga 20 tahun, sebat dan denda.
Najib setakat ini berdepan 39 pertuduhan berkaitan skandal 1MDB, pindaan laporan Jabatan Audit Negara dan pecah amanah melibatkan International Petroleum Investment Company (IPIC).– 17 Januari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Hazlan Sani · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Hazlan Sani · Ulasan