SUDAH jadi tanggungjawab Goldman Sachs untuk memelihara kepentingan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mereka sudah dibayar, kata Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu berkata pentadbiran terdahulu sudah mewujudkan sistem 1MDB dan Goldman Sachs wujud dalam sistem untuk memelihara kepentingan mereka.
“Jadi, jika mereka gagal mereka perlu bertanggungjawan kerana mereka dilantik dan dibayar oleh 1MDB untuk memelihara kepentingan kami,” katanya pada lawatan ke Masjid Kampung Raja, Cameron Highlands.
Beliau mengulas permohonan maaf kepada rakyat Malaysia kerana peranan bank itu dalam skandal 1MDB dilakukan oleh CEO Goldman Sachs David Solomon.
“Sangat jelas bahawa rakyat Malaysia tertipu oleh ramai individu, termasuk ahli tertinggi dalam kerajaan terdahulu,” kata Solomon pada persidangan dengan penganalisis selepas laporan pendapatan pelaburan bank itu bagi suku keempat, semalam.
Najib setakat ini berdepan 39 pertuduhan berkaitan skandal 1MDB, pindaan laporan Jabatan Audit Negara dan pecah amanah melibatkan International Petroleum Investment Company (IPIC).
November lalu, Tim Leissner yang pernah mengetuai cawangan Goldman Sachs di Asia Tenggara mengaku bersalah kerana melanggar undang-undang anti rasuah dan pengubahan wang haram AS dan bersetuju membayar AS$43.7 juta (RM184 juta) dalam perjanjian penyelesaian kes itu.
Seorang lagi bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng atau Ng Chong Hwa sedang ditahan dalam penjara Malaysia sementara menunggu kelulusan permohonan ekstradisi Jabatan Kehakiman AS.
Solomon sebelum ini memohon maaf atas peranan Leissner dalam skandal tersebut tetapi menegaskan bank pelaburan utama dunia itu diperdaya oleh Leissner dan pegawai kanan kerajaan Malaysia ketika itu mengenai peranan Low Taek Jho atau dikenali dunia dengan nama Jho Low. – 17 Januari, 2019.
Komen