KERAJAAN akan mengharamkan penanaman ketum melalui satu pindaan undang-undang di Parlimen tidak lama lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Wan Azizah, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah hari ini bersetuju undang-undang sedia ada yang membenarkan penanaman ketum dipinda.
“Pada masa ini, undang-undang membenarkan penanaman ketum tetapi bukan memetik atau menjualnya.
“Kita setuju undang-undang itu dipinda, mengharamkan penanaman ketum,” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Putrajaya.
“Mereka yang mahu menanamnya perlu dapatkan lesen daripada Kementerian Dalam Negeri apabila pindaan itu diluluskan nanti,” tambahnya.
Ketum pada masa ini ditadbir di bawah Akta Racun 1952.
Mesyuarat hari ini disertai Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin; Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong; dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
November lalu, Muhyiddin berkata cadangan mengharamkan penanaman ketum akan dibawa ke kabinet, hasil cadangan Jawatankuasa Bertindak Pasukan Penguatkuasaan Undang-undang.
Beliau menjelaskan pengharaman itu sebagai langkah pencegahan awal kerana penyalahgunaan ketum membawa kesan bahaya kepada pengguna walaupun ia tidak dikategorikan sebagai dadah berbahaya.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan sesetengah pihak terutamanya persatuan pekebun yang melihatnya sebagai sekatan kepada sumber pendapatan mereka di luar bandar.
Ketum adalah sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di negeri utara dan pantai timur yang daunnya digunakan untuk tujuan perubatan tradisional termasuk membuang angin dan menambah tenaga.
Ia bagaimanapun disalahguna penagih dadah kerana mengandungi bahan yang memberi kesan stimulan yang boleh menyebabkan ketagihan.
Daun ketum mengandungi bahan aktif yang dikawal dalam Jadual Ketiga Racun (Bahan-Bahan Psikotropik), Akta Racun 1952.
Akta itu menjadikan satu kesalahan bagi kegiatan import dan eksport, pengilangan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan terlarang itu, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau 4 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Akhir bulan lalu, Parlimen Thailand meluluskan penggunaan ganja dan ketum bagi tujuan perubatan. Langkah itu menjadikannya negara pertama di Asia Tenggara berbuat demikian di rantau yang mengenakan hukuman mati bagi kesalahan dadah. – 17 Januari, 2019.
Komen