Mahkamah arah ketua hakim jawab saman anak Karpal


Bede Hong

Saman itu difailkan anak Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo berkaitan kes melibatkan mendiang ayahnya dan dakwaan bekas hakim Mahkamah Rayuan. – Gambar EPA, 17 Januari, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum memfailkan afidavit untuk membalas cabaran perundangan dilakukan anak perempuan Karpal Singh yang beliau tidak bertindak ke atas dua aduan melibatkan badan kehakiman.

Hakim Mohd Firuz Jaffril mengarahkan Jabatan Peguam Negara (ACG) yang mewakili Malanjum untuk memfailkan jawapan balas itu pada 11 Februari yang juga ditetapkan sebagai tarikh pendengaran kes.

Anak Karpal, Sangeet Kaur Deo kemudian memberitahu wartawan di luar mahkamah yang beliau bimbang wujudnya konflik kepentingan dalam kes itu kerana ACG sebelum ini pernah melihat laporan polis dibuatnya tahun lepas mendakwa wujud campur tangan badan kehakiman dalam rayuan kes hasutan mendiang ayahnya.

“Saya adalah pengadu dalam laporan polis untuk kes hasutan ayah saya, dan saya tak pasti sama ada saya akan dapat perbicaraan adil,” katanya.

Kes itu yang difailkan Isnin lalu oleh Sangeet berkaitan dakwaan dibangkitkan peguam Haniff Khatri yang membuat catatan Facebook pada 22 Ogos tahun lepas yang penghakiman kes hasutan Karpal dua tahun lepas diubah selepas campur tangan kehakiman seorang hakim kanan.

Karpal meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya pada 17 April 2014.

Beliau didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mengatakan penyingkiran Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pada 21 Februari 2014, mahkamah tinggi menjatuhkan sabitan bersalah ke atas Karpal. Pada 30 Mei 2016, sabitan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan.

Sangeet turut memfailkan saman asal berkaitan tuduhan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Baker pada 16 Ogos 2018 yang beliau diberi amaran oleh hakim kanan kerana menyampaikan penghakiman berlainan dalam kes menukar agama anak tanpa kebenaran kedua ibu bapa pada 2016.

Hamid yang bercakap pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2018 berkata beliau dihalang daripada mendengar kes berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan kes kepentingan awam kerana penghakimannya terdahulu.

Dalam afidivaitnya, Sangeet berkata beliau memfailkan saman asal “kerana kegagalannya (Malanjum) setakat ini untuk menyiasat dan melengkapkan siasatan berkaitan dua tuduhan yang sangat serius mengenai campur tangan kehakiman dalam kehakiman Malaysia.”

“Diharapkan yang Badan Peguam juga mengambil pendirian dalam perkara ini kerana ia adalah tuduhan serius serangan ke atas intergriti dan kewibawaan kehakiman Malaysia,” tambahnya. – 17 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen