SEORANG rakyat Kanada diculik oleh militan bersenjata dari sebuah lombong emas di timur Burkina Faso, satu wilayah bergelut dengan keganasan ekstremis semakin meningkat dan tiada penguatkuasaan undang-undang, kata pegawai kerajaan.
Ahli geologi Kirk Woodman ialah naib presiden syarikat Kanada, Progress Minerals, yang melombong sumber alam, dan memiliki lombong di wilayah Yagha berhampiran sempadan Niger dan Mali.
“Ejen yang sedang bekerja diserang oleh sekumpulan 10 lelaki bersenjata yang mengepung staf. Mereka menculik ekspatriat itu bersama mereka,” kata Menteri Keselamatan Burkina Clement Sawadogo, menambah Progress Minerals sedang meneroka tapak emas di situ.
Serbuan itu berlaku pada petang Selasa, katanya.
“Kami yakin dan percaya dengan pihak berkuasa Kanada untuk membawa pulang suami dan bapa kami selamat. Kami berharap penyelesaian cepat kepada situasi ini,” kata keluarga Woodman dalam satu kenyataan.
Kanada pada masa ini menghantar 250 tentera dan lapan helikopter tentera ke wilayah bersebelahan Mali sebagai sebahagian misi pengaman PBB.
Penculikan meningkat di daerah miskin Sahel, yang berdepan peningkatan gelombang serangan militan sepanjang tempoh tiga tahun lalu.
Awal bulan ini seorang wanita Kanada yang dalam program bantuan kemanusiaan dilaporkan hilang selepas ke negara Afrika Barat dengan seorang rakan warganegara Itali.
Edith Blais, 34, dan rakannya Lucas Tacchetto, 30, dari Venice, kali terakhir dilihat pada 15 Disember.
Pasangan itu sepatutnya menaiki kereta ke Togo untuk projek bantuan kemanusiaan dengan Zion’Gaia, yang terbabit dalam projek penanaman semula hutan, tetapi mereka tidak tiba.
“Semuanya sudah dilakukan untuk mencari tiga ekspatriat yang diculik itu,” kata Clement.
Menteri Luar Kanada Chrystia Freeland berkata kerajaan sudah berhubung dengan pihak berkuasa Burkina.
Keganasan etnik menyebabkan empat puluh orang mati di Burkina Faso pada permulaan tahun dan darurat diisytiharkan di beberapa wilayah yang berdepan kebangkitan serangan jihad. – AFP, 17 Januari, 2019.
Komen