Gunung berapi meletus di pulau kecil Jepun


Gunung berapi di pulau Kuchinoerabu di selatan Jepun meletus pada jam 9:19 pagi waktu tempatan hari ini tidak lama selepas agensi meteorologi mengeluarkan amaran baharu. – Gambar AFP, 17 Januari, 2019.

GUNUNG berapi meletus di sebuah pulau kecil di selatan Jepun hari ini, menurut agensi meteorologi negara itu, menyebabkan asap dan debu memenuhi ruang udara dan tersebar ke kawasan berpenghuni.

Stesen televisyen negara NHK berkata tiada laporan kecederaan atau kerosakan setakat ini akibat letusan gunung berapi di pulau Kuchinoerabu.

Agensi berkata letusan berlaku jam 9:19 pagi waktu tempatan, tidak lama selepas ia mengeluarkan amaran baharu.

“Memang ada letusan di situ sejak tahun lalu tetapi kami menghantar amaran pagi ini untuk letusan terbarunya kerana membawa kesan lebih besar,” kata pegawai di agensi meteorologi Jun Fujimatsu.

“Kami mengekalkan amaran paras tiga, iaitu larangan memasuki kawasan gunung berapi.

“Terdapat beberapa kawah di gunung berapi itu. Zon bahaya ialah 2km dari kawah Shindake.

“Kami fikir letusan terbaru itu tidak akan melanda keseluruhan pulau.”

Imej disiarkan NHK menunjukkan asap hitam dan debu berapi meletus ke udara di atas pulau itu.

Pada 2015, 140 penduduk di pulau itu pada ketika itu dibawa keluar selepas letusan besar berlaku menyebabkan awam hitam setinggi 9,000 menteri dan menghasilkan gempa bumi gunung berapi selama lima minit. – AFP, 17 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen