Apa sumbangan tahfiz pada kemajuan umat Islam?


Mohd Syazreen Abdullah

PUNCAK perkembangan kajian Al-Quran di Barat berlaku pada abad ke-19. Ketika itu, kajian lebih menumpukan tentang sumber ke atas Nabi Muhammad. Kajian tertumpu pada persoalan wahyu, asbab nuzul, dan aturan surah atau ayat dalam Al-Quran.

Kemeriahan kajian Al-Quran di Barat tidak dapat disangkal lagi, malah perbahasan mengenai Al-Quran tumbuh subur. Bahkan ada mengatakan zaman keemasan kajian Al-Quran dicapai di Barat – didekati melalui pendekatan akademik.

Bukan tidak ada wacana kritis dalam kalangan sarjana Muslim. Namun, mereka lazimnya dituduh sesat dan murtad.

Bilakah pula zaman keemasan kajian Al-Quran bagi umat Melayu Islam? Ini menjadi tanda tanya.

Kita sekadar berbangga dengan Pusat Pencetakan Al-Quran terbesar di Putrajaya. Melayu Islam cuma berbangga dengan berseleraknya sekolah tahfiz. Penubuhan Majlis Tahfiz Negara pula dianggap mercu tanda umat Melayu Islam mencapai kegemilangan Al-Quran.

Ironinya, bukan pengkajian tetapi hafalan.

Hafalan tidak sama dengan kajian. Hafalan memerlukan tempoh panjang. Bertahun-tahun. Ulangi hafalan bukan ada had waktunya tertentu. Hari-hari mesti ulang. Jika tidak, penghafal Al-Quran akan lupa. Justeru, kesedaran minda pelajar tahfiz tidak melangkaui perkara lain.

Di benak mereka, hanya ada susunan, khat, baris, tajwid, aturan dan kedudukan titik ayat Al-Quran. Akhirnya tumpuan mereka hanya pada helaian atau huruf Al-Quran – jangan harap mereka faham, apatah lagi bersikap kritis.

Masyarakat pula terlalu idealis. Mahu jadi tahfiz. “Bekalan” hafalan dianggap petanda potensi untuk digilap untuk menjadi agamawan pada masa depan. Mungkin ulama seperti Imam Syafii dan tokoh lain – hafal Al-Quran dahulu sebelum mendalami ilmu agama dan dunia. Tidak semudah itu.

Akhirnya, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Menghafal Al-Quran mengakibatkan penguncupan masa untuk mereka memikirkan kajian Al-Quran. Jarang sekali kelompok penghafal Al-Quran menyuarakan ketidakadilan dan penindasan kemanusiaan di dunia realiti. Dunia mereka hanya Al-Quran. Inilah realiti dunia penghafal Al-Quran.

Malangnya, kebanyakan umat berfikiran begitu. Mungkin juga Mujahid Yusof Rawa turut terbawa-bawa dengan semangat pemikiran sedemikian. Kononnya Majlis Tahfiz Negara mampu menambah baik institusi tahfiz. Mantap daripada segi kurikulum pendidikan selari dengan pendidikan arus perdana. Bahkan mewujudkan sistem tahfiz yang teratur.

Soalnya, apa yang umat dapat dengan Majlis Tahfiz Negara?

Rahsia Al-Quran tidak diterokai

Selama-lamanya kita tidak maju kerana kita leka menghafal, bukan mengkaji. Aspek pemahaman tidak luas tanpa daya berfikir yang kritis. Kita tiada menyumbangkan suatu yang berharga kepada peradaban pemikiran Islam, khususnya Al-Quran, kerana kita awal-awal lagi sudah melangkah ke belakang – mensakralkan Al-Quran – kitab yang tidak boleh dikaji.

Tidak seperti di Barat. Al-Quran dimaknakan dengan kajian bukan hafalan. Cendekiawan tidak jemu-jemu mencari makna dan jawapan di sebalik teks Al-Quran. Ironinya, umat kita marah-marah bila mereka mengkaji Al-Quran.

Kita pula sibuk dengan hafalan. Kontang kajian. Kita marah-marah apabila Barat mengkaji Al-Quran sedangkan kita malas. Akhirnya, budaya ilmu mereka jauh meninggalkan kita.

Ironinya, kita tidak henti-henti paranoid dengan kajian Barat. Bermodalkan Barat itu kafir, kajian dari sana dihukumkan sebagai tidak relevan.

Nyatalah, budaya ilmu sangat kurang dalam kalangan umat Islam khususnya Melayu Islam. Ulama dan agamawan kita tidak mengkaji Al-Quran. Mengkaji Al-Quran dengan kritis langsung dianggap liberal. Jangan melebih-lebihkan akal pada kajian Al-Quran – begitu kita dimomokkan.

Fenomena ini wujud pada setiap zaman. Al-Quran umpama orang tua dan nalar ibarat anak. Orang tua harus mendidik anaknya supaya tidak nakal. Sebaliknya anak tidak boleh mengkritik orang tuanya. Orang tua pada darjat tertinggi sedang anak pada “kasta” terendah. Anak harus tunduk-patuh-angguk sahaja. Begitulah cara pandang Muslim terhadap Al-Quran.

Akhirnya, sikap tertutup itu memundurkan umat selama-lamanya. Rahsia Al-Quran tidak diterokai dek kesibukan kita menghafalnya. Memilih hafalan lebih aman kerana ia tidak mencabar keimanan. Al-Quran pula dikuduskan, tidak perlu dikaji lagi – dinobat sebagai kitab yang sempurna. Maka mendalami kajian Al-Quran dianggap mensia-siakan waktu, jadinya sekadar hafal.

Bayangkanlah, betapa banyaknya penerokaan ilmu Al-Quran mampu diperoleh jika waktu hafalan diganti dengan kajian. Bukankah kita sudah bazirkan masa, duit, dari perkara yang asalnya mulia akhirnya jadi sia-sia?

Umat juga tiada tuntutan mendesak untuk melahirkan huffaz. Sebaliknya pengkaji Al-Quran mampu menterjemahkan pesan Al-Quran di tengah-tengah konflik kemanusiaan dan kezaliman – menyebarkan kasih sayang dan keharmonian nilai beragama.

Itulah sikap kita selama ini. Demi menutupi kemalasan, kita tubuhkan badan besar-besaran supaya kita tampak cakna terhadap Al-Quran. Itulah Majlis Tahfiz Negara.

Kajian Al-Quran

Sepatutnya, kerajaan menubuhkan Majlis Kajian Quran. Pendidikan Al-Quran perlu dikembalikan kepada fungsi Al-Quran itu sendiri. Maka integrasi ilmu mampu memberi sumbangan pengkajian dan penerokaan makna di sebalik teks Al-Quran.

Apakah pada zaman bertimbun-timbun naskhah Al-Quran dihasilkan, berbagai-bagai warna, rekaan, corak demi memuaskan nafsu kapitalis, kita masih ada sangkaan Al-Quran akan lupus?

Tidak. Sebaliknya, Al-Quran lupus kerana pesan-Nya dilupai. Al-Quran tidak akan hilang. Mustahil Al-Quran lupus. Berbeza pada zaman nabi atau sahabat, Al-Quran dihafal demi menjaga kehilangan ayat Al-Quran. Kerana penghafal Al-Quran hampir tiada kerana ramai syahid. Tanpa arkib lengkap, timbul kebimbangan Al-Quran mungkin lupus. Maka, sahabat menghafal Al-Quran.

Kelakarnya, pada zaman Google kita masih sibuk dengan hafalan. Seharusnya tumpuan dialih pada pengkajian Al-Quran. Tidak ada lebih mustahak selain membuat kajian dan menjitukan pemahaman terhadap Al-Quran.

Untuk memahami apa-apa pun mestilah dengan akal. Tanpanya, mustahil rahsia Ilahi ditemui. Begitu juga akal tidak boleh dituruti tanpa wahyu. Kedua-duanya penting. Sama penting.

Bukankah Al-Quran menyebut, apakah kamu tidak bertadabbur? Apakah kamu tidak berfikir? Apakah kamu tidak memerhati? Semua ini renungan bagi orang yang berfikir.

Dalam Al-Quran, Tuhan tidak jemu mengingatkan umat supaya terus berfikir. Betapa pentingnya suluhan ketajaman akal untuk memahami pesan wahyu. Jadi, tanpa kompromi, kerahan akal sangat penting.

Adakah Tuhan menyebut wahyu boleh difahami menghafal? Penghafal Al-Quran akan mendatangkan dalil seperti ini: “Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya” (HR. Al-Bukhari)

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (15:9)

Kita bimbang dengan hadis yang entah betul, entah tidak sandarannya – konon hafal Al-Quran, syurga terjamin. Kita pulun mengingati ayat Al-Quran. Kita ulangi takut terlupa.

Akhirnya, kita beriman dengan tulisan Al-Quran tetapi mengabaikan pesan-Nya.

Sedangkan, Tuhan mahu kita memelihara Al-Quran dengan menjaga dan menyebar luas pesan keadilan, pesan kemanusiaan, pesan kebaikan. Itulah maksud menjaga Al-Quran. Bukan jaga dakwat atau lenggok khat Al-Quran.

Namun, maksud “memelihara” Al-Quran difahami majoriti umat sebagai hafalan. Sepatutnya, makna “memelihara dan menjaga” adalah menyebarkan pesan wahyu. Ingati pesan-Nya supaya kita – manusia – tidak melampau batas.

Umat lebih memerlukan tafsiran Al-Quran yang segar dan kajian baru tentang ilmu Al-Quran. Justeru, Majlis Kajian Quran jauh lebih penting daripada Majlis Tahfiz Negara. Kerajaan harus membudayakan umat yang faham Al-Quran. Bukan baca. Tapi faham.

Kajian Al-Quran berperanan penting dalam menyuburkan wacana agama yang berpaksikan tafsiran teks Al-Quran yang manusiawi. Belajar dan kajilah Al-Quran. Jangan mudah tunduk-patuh-angguk dengan tafsiran sedia ada. Belum tentu pandangan manusia – walau ulama – sentiasa tepat.

Kerana itu Al-Quran harus dikaji, difikirkan melalui penerokaan ilmu. Supaya umat tidak mudah dibodohkan. Tidak sesekali tidak ditunggang dek anasir politik atau keganasan atas nama Al-Quran.

Kita sibuk memperjuang konsep rahmatan lil alamin – mudah menyebutnya, semudah menghafalnya. Tetapi dapatkah kita memahami maksud sebenar, sekadar dengan sebutan atau menghafal kalimah itu semata-mata? – 17 Januari, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen