KERAJAAN akan menghidupkan semula Majlis Veteran, kata Mohamad Sabu.
Menteri pertahanan itu berkata majlis itu dibentuk pada 2012 tetapi sehingga tahun lepas, tiada mesyuarat diadakan.
“Majlis itu bertemu buat kali pertama pada Disember lalu dan akan berjumpa lagi pada Februari untuk membincangkan keperluan veteran. Ia tidak berfungsi di bawah Barisan Nasional sejak dibentuk enam tahun lalu,” katanya pada ceramah Pakatan Harapan di Sungai Koyan malam tadi.
Mohamad menafikan dakwaan Hishammuddin Hussein yang PH tidak menjaga kebajikan pesara pasukan keselamatan negara.
Di Sungai Koyan, terdapat tiga penempatan Felda, Koyan 1 dikhususkan untuk penduduk Pahang manakala Koyan 2 dan 3 dikhusukan untuk bekas anggota keselamatan pada pentadbiran Perdana Menteri Malaysia Ke-2 Abdul Razak Hussein sekitar tahun 1970-an.
“Pakatan akan memastikan veteran akan terus menikmati semua faedah diberikan BN. Selain itu, kita juga akan meningkatkan peruntukan tahunan untuk veteran sebanyak RM20 juta kepada RM98 juta setiap tahun.”
Presiden Amanah itu turut berusaha meredakan ketakutan tak berasas terhadap DAP.
“Bila DAP jadi kerajaan di Pulau Pinang pada 2008, ada demonstrasi mingguan menentang Ketua Menteri Lim Guan Eng dan bagaimana dia akan ketepikan orang Melayu.
“Tetapi pada 2013, Pakatan Rakyat menang lebih banyak kerusi. Dan pada pilihan raya lepas, BN hanya menang dua kerusi negeri sahaja.
“Malah, orang Melayu Pulau Pinang pun sedar yang DAP tak akan ketepikan mana-mana kaum,” katanya lagi.
Tambahnya, dakwaan tentang DAP banyak yang palsu dan BN yang terus menggunakan retorik kaum terhadap PH juga akan gagal pada PRK Cameron Highlands.
PRK akan menemukan calon BN Ramli Mohd Noor, M Manogaran (PH) dan dua calon Bebas.
Walaupun keputusan PRK tersebut tidak akan memberi kesan kepada komposisi kerajaan persekutuan, ia adalah ujian sama ada PH kini mendapat sokongan orang Melayu luar bandar dan peneroka Felda serta keberkesanan retorik kaum digunakan BN. – 17 Januari, 2019.
Komen