15,000 wanita Arab Saudi tonton Juventus lawan AC Milan


Seorang wanita Arab Saudi kelihatan di stadium Jeddah semalam ketika menyaksikan perlawanan akhir Supercap Itali antara pasukan Juventus dan AC Milan. – Gambar AFP, 17 Januari, 2019.

RIBUAN wanita Arab Saudi ditemani mahram lelaki, membanjiri stadium di Jeddah, semalam untuk menyaksikan perlawanan akhir Supercap Itali antara pasukan Juventus dan AC Milan.

Mereka yang membawa kain pemidang masuk ke dalam stadium di Bandar Sukan Raja Abdullah di barat Jeddah itu, menerusi pintu khas “keluarga”, sementara wanita bujang dilarang membeli tiket.

Bagaimanapun, larangan itu mencetuskan reaksi kurang senang di Itali, malah Timbalan Perdana Menteri Matteo Salvini menyifatkan ia menjijikkan.

Menurut laporan, lebih 15,000 wanita antara 62,000 penonton yang memenuhi stadium itu, sambil ditemani kaum lelaki atau anak lelaki.

Kehadiran penyokong wanita disambut baik Presiden Liga Bola Sepak Itali, Gaetano Micciche.

Malah, presiden Serie A itu berkata kehadiran kaum wanita di dalam stadium berjaya mencatatkan sejarah, apabila ia menjadi perlawanan antarabangsa pertama di Arab Saudi yang membenarkan kehadiran penyokong wanita.

Pada tahun lalu, Arab Saudi memansuhkan peraturan yang memisahkan jantina, bagi membolehkan golongan wanita masuk ke stadium buat kali pertama bersama keluarga mereka.

Keputusan itu antara perubahan yang dilancarkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, bertujuan memodenkan pentadbiran kerajaan.

Perubahan itu turut membabitkan menarik balik larangan wanita memandu pada Jun lalu. – AFP, 17 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen