PIHAK berkuasa Amerika Syarikat (AS) berada pada peringkat “maju” dalam siasatan jenayah yang mungkin menyebabkan syarikat telekomunikasi Cina, Huawei didakwa, kata laporan.
The Wall Street Journal memetik sumber berkata Jabatan Kehakiman (DoJ) mungkin mengenakan tuduhan mencuri rahsia perdagangan daripada rakan perniagaan Huawei di AS, termasuk peralatan robotik T-Mobile yang digunakan untuk menguji telefon pintar.
DoJ enggan mengulas laporan itu dan Huawei tidak memberi respons ketika diminta memberi komen.
Langkah itu akan semakin menambah ketegangan antara AS dan China selepas penahanan ketua pegawai kewangan Huawei Meng Wanzhou di Kanada, di mana beliau juga anak perempuan kepada pengasas syarikat berkenaan.
Kes Meng yang kini dikenakan tahanan rumah sementara menunggu prosiding mahkamah, menjejaskan hubungan antara AS-China dan Kanada-China.
Ottawa berkata 13 warga Kanada ditahan di Beijing termasuk seorang yang dijatuhi hukuman gantung atas tuduhan mengedar dadah.
Huawei, pembuat telefon pintar kedua terbesar dunia dan pengeluar peralatan telekomunikasi terbesar, berada di bawah perhatian AS kerana dikatakan ada kaitan dengan kerajaan China.
Pengasas Huawei, Ren Zhengfei dalam satu temu bual media menafikan tuduhan bahawa syarikatnya terbabit dalam kerja merisik bagi pihak kerajaan China. – AFP, 17 Januari, 2019.
Komen