DENGAN rambut beruban dengan kesan selaran matahari di wajahnya, Singgol anak lelaki Oleh nampak jauh lebih berusia daripada umurnya 44 tahun.
Walaupun beliau merupakan salah seorang daripada beberapa penduduk di Kampung Tual, Pos Sinderut yang tamat SPM, tiada peluang pekerjaan untuknya di sini.
“Saya hanya tanam getah dan pisang serta mencari hasil hutan dan berburu apa yang boleh di hutan,” kata bapa kepada empat orang anak itu.
Walaupun penempatan Felda Sg Boyan hanya 34 kilometer dari kampungnya, kebanyakan suku Semai tidak dapat kerja di sana.
“Mereka lebih utamakan pekerja Indonesia,” katanya.
Terdapat sekitar 18 buah kampung di kawasan berbukit di Sinderut. Walaupun kerajaan sebelum ini telah membina jalan sejauh 35 kilometer dari Jalan Tersang-Sg Koyan dengan kos RM40 juta beberapa tahun lalu, jalan berliku itu kini telah usang dan tiada lampu pada waktu malam.
Kampung Singgol adalah kampung keempat dari jalan utama, kira-kira 22 kilometer ke dalam hutan. Selain daripada panel solar yang disumbangkan oleh sebuah syarikat multinasional beberapa tahun lalu, memang tidak ada bekalan elektrik di sini.
Terdapat sebuah sekolah di atas gunung tetapi jarak dari Kg Tual ke sekolah adalah hampir 10 kilometer. Anak sulung Singgol, yang kini berusia 19 tahun, sedang belajar di sebuah kolej teknikal kerajaan di Kuala Lumpur manakala dua anak perempuannya yang lain tidak bersekolah.
Singgol berkata kerajaan menyediakan pengangkutan ke sekolah itu, tetapi tanpa elektrik, kanak-kanak tidak dapat menelaah selepas matahari terbenam dan kemudiannya hilang minat selepas jauh ketinggalan.

‘Dibeli’ setiap kali pilihan raya, selepas itu dilupakan
Suku Semai, menurut Singgol, tetap menjadi masyarakat yang dilupakan di Malaysia moden dan dia menyalahkan keadaan mereka yang terputus hubungan dengan seluruh negara serta kegagalan Barisan Nasional untuk memberi perhatian kepada keperluan komuniti mereka.
Beliau menjadi perhatian tahun lalu ketika ia menjadi salah seorang daripada 12 Orang Asli yang menjadi saksi pada petisyen pilihan raya Cameron Highlands.
Antaranya, Singgol memberitahu mahkamah beliau diberikan RM50 pada malam hari pengundian untuk mengundi calon Barisan Nasional C Sivarraajh.
Saksi lain turut berkongsikan cerita yang sama tentang bagaimana wang diberikan kepada mereka oleh calon MIC dan menteri besar Pahang sekarang Wan Rosdy Wan Ismail untuk mendapatkan undi suku Semai.
“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Apabila saya pergi untuk mengundi, saya diberi RM50 oleh Tok Batin.
“Saya rasa terhina. Seolah-olah nilai masyarakat kita hanya RM50,” kata Singgol, yang memperoleh pendapatan kira-kira RM200 sebulan dari hasil menjual getah dan pisang yang ditanam di tanahnya.
“Ia tidak dapat diterima untuk mereka datang dan beri RM50 kepada kami untuk dapatkan undi kami dan kemudian hilang untuk lima tahun akan datang,” katanya.
Walaupun BN meletakkan polis yang sudah bersara dari suku Semai, Ramli Mohd Noor untuk pilihan raya akan datang, Singgol berkata beliau tidak akan beri BN peluang lagi untuk mendapatkan hak oleh masyarakat.
“Bagi saya, ia sangat jelas. Saya tidak boleh mengundi mereka lagi.
“Saya tidak percaya pada BN selama 10 tahun sekarang. Mungkin, ada orang lain yang beralih arah kerana mereka mempunyai calon Semai tetapi saya tahu saya tidak dapat mengundi kapal tenggelam,” katanya dengan senyuman.
Pos Sinderut adalah salah satu daripada sembilan pusat pengundian dari Cameron Highlands ‘29 yang mempunyai majoriti Semai. Dalam pilihan raya lepas, BN mendapat 709 (64.5%) daripada 1,095 undi di sini manakala Pakatan Harapan dan PAS mengumpul 268 (24.4%) dan 35 undi.
Kerusi Parlimen Cameron Highlands mempunyai kira-kira 6,000 pengundi dari suku Semai (20.9%) daripada 32,008 pengundi berdaftar. – 17 Januari, 2019
Komen