Dr Mahathir akan hadir untuk Pakatan di Cameron Highlands


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Cameron Highlands awal bulan lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad akan hadir untuk berkempen Pakatan Harapan di Cameron Highlands pada 25 Januari.

“Dr Mahathir akan datang dan menunaikan solat di Masjid Sultan Ahmad di Sg Koyan pada Jumaat,” kata pengacara majlis pada ceramah PH  di pekan Sg Koyan.

Dr Mahathir akan menjadi antara pemimpin yang akan hadir untuk kempen Pakatan dan Barisan Nasional pada kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein turut berada di Cameron Highlands hari ini dan bekas perdana menteri Najib Razak yang juga sepupunya akan memulakan lawatan tiga harinya ke kawasan Parlimen itu esok. 

Ceramah Pakatan Harapan hari ini dimulakan dengan ucapan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Syefura Othman, diikuti dengan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah dan calon pilihan raya itu M. Manogaran. Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengakhiri sesi ceramah berkenaan. 

Presiden PKR Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan pemimpin Amanah Dr Mujahidd Yusof Rawa dijadualkan akan hadir pada ceramah di Sg Koyan malam esok. 

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga dijangka akan hadir untuk berkempen kepada BN, namun tarikhnya masih belum dinyatakan. – 16 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen