PRESIDEN Kenya, Uhuru Kenyatta mengesahkan 14 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera pada Rabu dalam insiden serangan maut di sebuah hotel dan kompleks pejabat yang sering dikunjungi warga asing di ibu negara itu.
Kenyatta berkata dalam satu sidang media disiarkan televisyen tempatan, operasi keselamatan berakhir dan pengganas yang menyerang kompleks Hotel DusitD2 berjaya dihapuskan, menamatkan serangan keganasan yang berlarutan selama 18 jam.
“Operasi keselamatan di kompleks itu berakhir dan semua pengganas dihapuskan, 14 orang disahkan maut,” katanya lapor agensi berita Xinhua.
Pasukan keselamatan memindahkan rakyat Kenya dan warga asing dari bangunan semasa operasi dijalankan.
Polis berkata, enam anggota kumpulan militan Somalia Al Shabaab mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Kumpulan berkaitan menyasarkan wilayah sempadan Kenya-Somalia selain membunuh rakyat tidak berdosa sejak tentera Kenya memasuki Somalia pada 2011. – Bernama, 16 Januari, 2019.
Komen