KILANG pakaian untuk jenama barat di Bangladesh bertindak memecat ratusan pekerjanya selepas lebih seminggu melancarkan mogok dan bertempur dengan pihak berkuasa berhubung kenaikan gaji, kata polis dan kesatuan perdagangan.
Industri pakaian yang bernilai AS$30 bilion di negara itu merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas China. Kira-kira empat juta pekerja di 4,500 kilang mengeluarkan pakaian untuk rangkaian H&M, Walmart dan banyak lagi.
Mogok oleh ribuan pekerja berhubung gaji rendah bermula sejak awal bulan lalu menyebabkan ramai pengilang terpaksa menghentikan pengeluaran.
Seorang pekerja terbunuh manakala lebih 50 orang lagi cedera minggu lalu selepas polis melepaskan tembakan peluru getah kepada penunjuk perasaan di pinggir bandaraya Dhaka.
Mereka bagaimanapun menghentikan mogok minggu ini selepas kerajaan bersetuju untuk menaikan gaji, namun kebanyakan mereka yang kembali bekerja pada Rabu baru mengetahui mereka dipecat.
Pemimpin kesatuan sekerja berkata, sekurang-kurangnya 750 orang pekerja pelbagai syarikat di hab perkilangan di Ashulia menemui notis yang digantung di luar pagar kilang yang memaklumkan pemecatan berserta gambar mereka.
“Ini tidak adil. Pemilik kilang bertindak demikian hanya untuk mewujudkan kebimbangan agar tiada siapa yang berani mengadakan bantahan atau menuntut kenaikan gaji,” kata pemimpin berkenaan yang enggan namanya disiarkan.
“Polis memberitahu saya agar tidak menimbulkan masalah. Jika tidak saya akan hilang.”
Polis dan pengurus akan kilang mendakwa kira-kira 400 pekerja dipecat kerana merosakkan peralatan ketika mogok itu berlaku.
Pengurus syarikat Metro Knitting Atiqul Islam memberitahu AFP, syarikat itu melaporkan hampir 300 pekerja kepada polis kerana memecahkan kamera litar tertutup kilang dan komputer.
“Kira-kira 10,000 barangan pakaian yang dibuat untuk dieksport turut hilang,” katanya.
Setakat ini 12 penahanan dibuat kerana vandalisme ketika ketegangan itu, kata polis. – AFP, 16 Januari, 2019
Komen