Hanya 0.44% tahanan parol kembali melakukan kesalahan, kata Zahid


Low Han Shaun

Ahmad Zahid Hamidi berkata program yang dijalankan Jabatan Penjara banyak mengubah banduan menjadi lebih baik setelah dibebaskan. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2017.

JABATAN Penjara Malaysia berjaya mengurangkan kes kemasukan berulang atau residivis tahanan menerusi program pemulihan kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Jabatan Penjara Malaysia adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Zahid berkata, program yang merangkumi Program Pembangunan Insan, Sistem Parol dan Pemulihan Pemasyarakatan di bawah inisiatif Pendekatan Korektif Yang Memberi Sinar Baharu Kehidupan membawa penurunan residivis kepada 0.44%.

“Kadar residivis yang direkodkan adalah purata 0.44% atau 17,081 tahanan parol dari 2008 hingga Jun 2017 bagi pesalah yang kembali melakukan jenayah,” kata Zahid pada perhimpunan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Beliau turut membuat perbandingan dengan California, Amerika Syarikat di mana residivisnya adalah 68% berbanding di Malaysia hanya 0.44%, dan ia katanya jarang dilaporkan kerana rakyat Malaysia dan media tidak berminat dengan “berita yang baik”.

“Sekiranya membabitkan tahanan melarikan diri, masyarakat akan hebahkan, tetapi bila berkenaan pengurangan residivis, tidak akan ada laporan.

“Perkara yang buruk itu adalah berita, dan apa yang baik berlaku adalah bukan berita,” katanya.

Zahid, yang mengatakan beliau sendiri secara peribadi melawat penjara bagi memantau apa aktiviti pesalah, turut menjemput media untuk “masuk penjara” dan membuat lebih liputan terhadap pesalah yang dipenjarakan.

“Saya sendiri masuk dan melihat apa yang berlaku dalam penjara..Saya menjemput semua wartawan yang biasa membuat liputan dengan kementerian dalam negeri untuk melawat penara dengan saya dan sudah tentu keluar semula untuk melihat apa sebenarnya yang dilakukan tahanan.

“Tahukah anda, nanas yang paling baik (di negara ini) yang diiktiraf Lembaga Nanas Malaysia adalah dari penjara?” kata Zahid.

Pesalah di Malaysia yang mengikuti program di penjara akan dilengkapkan dengan kemahiran yang akan membantu mereka menyesuaikan diri semula dengan masyarakat selepas dibebaskan.

Antara kemahiran yang diberikan termasuk memasak, bakeri, menjahit, kraftangan, aktiviti pertanian dan perkhidmatan spa dan rawatan muka.

Kesemua produk yang dihasilkan akan dijual kepada beberapa pasar raya di Lembah Klang.

Salah seorang bekas banduan Penjara Kajang V. Arun , 39 yang pernah menjalani hukuman penjara selama empat tahun kerana melakukan rompakan antara yang mendapat manfaat daripada program itu.

“Kini saya memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik daripada Universiti Teknologi Nanyang Singapura dan kini berkerja sebagai pennyelia di ladang nanas di Seri Menanti, Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.  

Arun berkata penjara mengubah hidupnya dan dari situ dia menyedari betapa pentingnya kebebasan selepas sudah terlanjur.

“Saya tersilap bercampur dengan orang yang salah, tapi saya “bertuah’ kerana ditangkap di Shah Alam pada 2012.

“Ia merupakan satu rompakan namun berlaku kesilapan, ada dua orang lagi bersama saya, tapi kini saya tiada hubungan lagi dengan mereka sekarang.

“Apa yang mengubah saya ketika di penjara adalah, ia sangat sukar, kami perlu menjalani pelbagai ujian fizikal,” katanya.

Arun berkata, program yang diperkenalkan Jabatan Penjara banyak mengubahnya dan memberi manfaat kepadanya. Dia turut mengakui sangat sukar untuk masyarakat menerima siapa dirinya.

“Program ini sangat bagus, saya tidak pernah terfikir untuk menanam nanas dan menjadi petani.

“Saya tidak tahu bagaimana persepsi masyarakat terhadap saya, tapi saya  harap mereka dapat berikan saya peluang kedua kerana ramai lagi bekas banduan seperti saya mahu jadi seperti saya, berjaya buka ladang.

“Ramai yang mahu berubah menjadi lebih baik dalam hidup, tapi ia memerlukan masyarakat untuk menerima mereka, Ya kami pernah melakukan kesilapan sebelum ini tetapi kami mahu berubah,” katanya. – 28 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen