AKTIVIS yang mengetuai bantahan di Harare, Zimbabwe, Evan Mawarire ditahan polis di kediamannya pada Rabu, menurut wartawan AFP.
Pasukan polis lengkap bersenjata berada di kediaman Mawarire lebih dua jam sebelum dia dibawa menaiki sebuah trak pikap ketika pasukan keselamatan negara itu memburu dalang bantahan anti-kerajaan.
“Polis lengkap bersenjata mengepung kediaman beliau pagi ini dan beliau ditahan. Kami tidak tahu atas sebab apa,” kata kakak aktivis terbabit Teldah Mawarire kepada AFP.
“Kami tidak tahu di mana dia akan dibawa. Saya berhubung dengannya sebelum dia ditangkap dan sekarang tidak dapat dihubungi. Kami sangat bimbang.”
Sekurang-kurangnya lima peserta bantahan itu ditembak pasukan keselamatan manakala 25 orang lagi cedera dalam operasi untuk mematahkan demonstrasi jalanan di seluruh negara pada Isnin, menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW).
“Mereka yang bertanggngjawab secara salah menggunakan senjata api perlu disiasat dan bertanggungjawab,” kata pengarah HRW Afrika Selatan, Dewa Mavhinga.
Penunjuk perasaan dikatakan membakar balai polis, membina sekatan di jalan raya menggunakan batu besar, memecah masuk dan mencuri di kedai di bandar Harare, Kadoma dan Bulawayo, manakala pihak berkuasa bertindak menggunakan peluru hidup, peluru getah dan gas pemedih mata.
Tunjuk perasaan itu tercetus selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak pada hujung minggu lalu akan mencecah dua kali ganda ketika krisis ekonomi semakin memuncak di negara berkenaan. – AFP, 16 Januari, 2019
Komen