Putrajaya tidak adil kepada pemandu teksi, kata Najib


SM Amin

Bekas perdana menteri Najib Razak bertemu wakil pemandu teksi di kediamannya di Jalan Langgak Duta hari ini. Beliau berkata akan turun padang bersama pemandu teksi untuk mengetahui masalah dihadapi mereka dengan lebih mendalam. – Gambar The Malaysian Insight Afif Abd Halim, 16 Januari, 2019.

TINDAKAN kerajaan memberi terlalu banyak kelonggaran kepada perkhidmatan e-hailing menyebabkan pemandu teksi berasa mereka ditindas dan sukar untuk bersaing dalam pasaran, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata antara yang menjadi rungutan pemandu teksi adalah perkhidmatan e-hailling kini diberikan hub di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengambil penumpang sedangkan ketika zaman pemerintahannya dahulu tidak berlaku.

“Syarat-syarat dikenakan terhadap Grab terlalu longgar, boleh pakai seluar pendek dan sebagainya. Ada juga yang tidak adil di mana di KLIA umpamanya Grab boleh tempatkan kereta di situ sebagai hub.

“Kalau kita lihat tafsiran e-hailing, tidak boleh tempatkan kereta di situ (KLIA), dia (pemandu e-hailing) kena bergerak, bila ada keperluan baru dia akan datang.
Tapi di KLIA seolah-olah dia jadi perkhidmatan teksi,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan syarikat teksi.

Mengakui beliau meluluskan perkhidmatan e-hailing di negara ini, Najib menjelaskan kerajaan pentadbirannya sebelum ini berusaha untuk memastikan persaingan seimbang kedua-dua perkhidmatan itu.

“Sebagai contoh, kami mempunyai program khas untuk pemandu. Kami memberikan bantuan RM5,000 untuk membeli teksi baru, polisi untuk diberikan lesen individu, dan kita pernah memberikan tayar percuma.

“Kami masih berusaha mencari fomula terbaik bagi memastikan perkhidmatan e-hailing dan teksi berjalan di atas landasan yang sama. Perkara ini dalam proses, belum selesai dan kemudian pilihan raya datang,” katanya.

Selain itu, Najib berkata soal kebajikan pemandu teksi turut dibincangkan terutamanya isu perumahan yang membabitkan permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada pemandu teksi tidak dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Walaupun sudah mohon tetapi tidak dipertimbangkan. Ini tidak adil kerana mereka rakyat Malaysia yang bekerja keras dengan waktu kerja begitu panjang.

“Mereka memerlukan rumah dengan bayaran sehabis minima kerana pendapatan tidak menentu. Saya berpendapat kerajaan patut pertimbangkan dan beri rumah PPR kepada pemandu teksi.”

Najib turut menjelaskan beliau akan turun padang bersama pemandu teksi untuk mengetahui secara mendalam lagi, permasalahan sebenar mereka.

Jabatan Pengangkutan Jalan baru-baru ini mengesahkan kereta Grab dibenarkan untuk mengambil penumpang dari KLIA di kawasan ditetapkan untuk memastikan mereka bukan pengendali teksi haram. – 16 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen