Elak ikan mati, Australia pam oksigen ke sungai


Menteri Air New South Wales, Niall Blair berkata pada Selasa empat alat pengudaraan menggunakan tenaga suria akan dipasang di Sungai Murray-Darling. – Gambar EPA, 16 Januari, 2019.

OKSIGEN akan dipam ke dalam sistem sungai terbesar di Australia untuk memberikan pengudaraan selepas kira-kira sejuta ikan ditemui mati awal tahun ini yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Menteri Air New South Wales, Niall Blair berkata pada Selasa empat alat pengudaraan menggunakan tenaga suria akan dipasang di Sungai Murray-Darling.

Katanya langkah itu bagi menjaga hidupan di sungai berkenaan dan pihaknya juga sedang memperhalusi idea dicadangkan beberapa pakar termasuk memindahkan ikan sehingga sistem sungai pulih.

“Tiada apa yang dapat menyelamat ikan-ikan itu kecuali dengan memastikan aliran dan paras air kembali normal,” katanya.

Memandangkan negara kini mengalami gelombang panas dan kemarau, pakar bersetuju lebih banyak ikan akan mati dan ia memang sukar dielakkan.

“Sekarang berlaku kombinasi gelombang panas dan kemarau ditambah lagi dengan dasar kerajaan yang mengambil air dari sungai, menjadikan masalah bertambah serius,” kata Profesor di Universiti Queensland, John Quiggin.

“Perkara itu amat serius dan langkah jangka pendek yang boleh diambil sangat terhad. Saya rasa kita bakal menyaksikan lebih banyak masalah alam sekitar.” – Bernama, 16 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen