Pakatan fokus pada Orang Asli Semai di Cameron Highlands


Chan Kok Leong

Kelihatan anak-anak Orang Asli bermain di Kampung Tual, Sinderut, Pahang. Kebanyakan mereka tidak mengetahui kerajaan pusat sudah bertukar tangan kepada Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Januari, 2019.

SAMBUTAN hambar orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) mendorong parti pemerintah menumpukan perhatian kepada 6,000 pengundi Semai yang menjadi pengundi di kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Pengundi Semai terdiri 1,300 di Pos Bertau, 1,200 di Pos Sinderut dan 600 di Pos Lenjiang, yang semuanya berada di kawasan Jelai. Baki enam stesen mengundi majoriti Semai mempunyai antara 200 hingga 500 pengundi.

PH mengerahkan pasukannya daripada Impian Sarawak dan DAP Kelantan untuk membantu meyakinkan pengundi Semai untuk memecahkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

“Ramai orang Semai di sini tidak sedar kerajaan persekutuan sudah bertukar kepada PH,” kata Jamali Ayau, yang mengetuai pasukan perayu undi DAP Kelantan di Sinderut.

“Kerja kami di sini adalah untuk menjelaskan kepada mereka mengenai isu ini,” kata aktivis Temiar itu.

Beliau berkata ramai di kalangan masyarakat percaya DAP adalah parti komunis yang akan menghapuskan semua faedah ketenteraan, hasil berdekad propaganda dilakukan oleh BN.

“Mereka masih percaya bahawa DAP sama dengan komunis,” kata Jamali dengan senyuman.

“Dan memandangkan di sini ramai pesara tentera, mereka bimbang tentang pemotongan faedah terhadap anggota tentera jika calon DAP menang di sini.”

Jamali Ayau (kanan) berkata masalah dihadapi Orang Asli Semai serupa dengan kaum Temiar di Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Januari, 2019.

Jamali, daripada sebuah kumpulan bukan kerajaan, Jaringan Kampung Orang Asli Semanjung Malaysia, berkata kebanyakan Tok Batin terbuka untuk bercakap dengan mereka.

“Semai adalah orang yang sangat mesra tetapi keramahan ini juga mendedahkan mereka kepada eksploitasi,” katanya, sambil menambah terdapat kira-kira 5,000 penduduk di 18 buah kampung di Sinderut, dengan sekitar 1,271 pengundi berdaftar.

Jamali berkata terdapat beberapa Tok Batin yang masih was-was  dengan perayu undi PH, sering menghalau mereka dari kampung.

Beliau berkata masalah Semai mengenai kekurangan pendidikan, kesihatan, air bersih, peluang elektrik dan ekonomi serupa dengan yang dihadapi oleh Temiar di negeri asalnya Kelantan.

Untuk mengetengahkan kepentingan undi Semai, veteran DAP Lim Kit Siang juga akan bertemu dengan Tok Batin di Sinderut hari ini sementara Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan mengadakan forum dengan mereka esok.

Pada Selasa, satu pasukan daripada Impian Sarawak juga melakukan perjalanan selama tiga jam ke Lanjiang.

Walaupun Bertau dan Sinderut boleh diakses oleh kenderaan jalan raya, Lanjiang hanya boleh diakses oleh kenderaan pacuan empat roda.

Menurut Jamali, penempatan Semai paling jauh terletak di Pos Titom, yang mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan melalui jalan kampung.

Menurut seorang lagi aktivis Impian Sarawak, yang tidak mahu dikenali, kempen BN di kalangan pengundi Semai agak perlahan.

“Kami tidak melihat sesiapa yang pergi ke Sinderut dan Lanjiang lagi. Ia sama ada terlalu awal atau jarak menjadi masalah kerana mereka tidak boleh menggunakan jentera kerajaan lagi,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya pada November memutuskan semasa pilihan raya Mei lalu, calon BN C Sivarraajh dan menteri besar Pahang semasa, Wan Rosdy Wan memberi suapan kepada pengundi Semai untuk menyokong bekas pakatan pemerintah itu.

Kemenangan Sivarraajh dibatalkan dan kemudiannya dihalang daripada bertanding dalam PRK itu.

Walaupun Wan Rosdy juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai, beliau nampaknya lebih  menyerahkan sebahagian besar kempen kepada calon Orang Asli BN, Ramli Mohd Nor. – 17 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen