JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman mengesahkan penahanan lapan individu di Australia yang menggunakan syarikat penerbangan Malaysia untuk membawa dadah ke negara itu.
Sumber dari jabatan itu berkata operasi dibuat oleh polis Australia dengan bantuan anggota polis Malaysia.
Bagaimanapun, sumber itu berkata butiran lanjut tentang identiti lapan individu berkenaan tidak boleh didedahkan kerana polis Australia masih menyiasat perkara itu.
“Ya, saya boleh sahkan bahawa operasi dibuat di Australia. Kami bertukar maklumat tentang sindiket itu dan penahanan dibuat di sana.
“Pada masa ini tidak ada apa yang boleh didedahkan kerana penahanan dibuat oleh mereka. Jika mereka tidak dedahkan, jadi kami juga perlu buat begitu,” kata sumber berpangkat tinggi daripada jabatan itu hari ini.
Laporan dari Australia hari ini mendedahkan bahawa dua pramugari dari Malindo Air ditahan oleh polis di Australia ketika serbuan itu.
Malindo Air ketika dihubungi berkata ia akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan insiden itu.
Tiada maklumat lanjut diberikan oleh syarikat penerbangan itu.
Menurut agensi berita Australia, Pasukan Polis Sempadan Australia melumpuhkan sindiket dadah yang membawa dadah bernilai AS$20 juta ke Australia.
Komander Craig Palmer dipetik sebagai berkata Suruhanjaya Risikan Jenayah Australia dan polis sempadan menjalankan serbuan di beberapa hartanah sekitar Melbourne minggu lalu.
Menurut laporan berita, polis menyerbu beberapa rumah di Richmond, Southbank, Sunshine North dan Melbourne pada 7 dan 8 Januari, merampas heroin bernilai AS$14.5 juta, methamphetamine AS$6.4 juta, alat menghisap dadah, sebuah Porsche Macan, Mini Cooper dan sejumlah besar wang tunai.
Polis menahan empat wanita berumur 47, 46, 47 dan 38 serta empat lelaki berumur 26, 42, 30 dan 46.
Semua lapan individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret Melbourne.
Enam ditahan reman dan dua lagi diikat jamin dengan diarah ke mahkamah pada 15 Mei.
Anak kapal terbabit didakwa bekerja untuk syarikat penerbangan beroperasi di luar Malaysia. – 16 Januari, 2019.
Komen