MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan keputusan mahkamah sesyen untuk mengembalikan semula pasport kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman yang mahu ke luar negara untuk tujuan perubatan.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan tersebut, menyatakan Musa, 68, gagal membuktikan rawatan untuk penyakitnya tidak wujud di Malaysia.
Zaini berkata Musa tidak membuktikan rawatan penyakitnya hanya boleh dibuat di Singapura dan UK.
“Bagi pengetahuan saya, tertuduh hanya mahu mendapatkan rawatan oleh doktor yang dipilihnya,” kata Zaini.
Hakim menambah mahkamah tidak menafikan kewujudan penyakit Musa, tetapi isunya adalah sama ada kebenaran keluar negara untuk mendapatkan rawatan boleh diberikan.
Musa masih belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan, kata peguamnya, Amer Hamzah Arshad.
Pada 7 Januari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob membenarkan permohonan Musa untuk mendapatkan pasportnya bermula 15 Januari hingga 10 Februari dengan syarat perjalanan dilakukan hanya ke Singapura dan London.
Beliau juga mengarahkan Musa mengembalikan pasportnya pada 11 Februari paling lewat dan meminta penjamin bertanggungjawab untuk mengetahui lokasi Musa sepanjang tempoh tersebut.
Pihak pendakwaan membuat rayuan di mahkamah tinggi dan dalam pendengaran kes semalam, Timbalan Pendakwa Raya Salim Shoib memberitahu mahkamah alasan digunakan Musa untuk mendapatkan rawatannya bukan luar biasa, tidak kukuh dan tidak menggambarkan wujudnya kecemasan.
“Tidak sesuai memberikan kelulusan kepada responden untuk ke luar negara hanya atas alasan perubatan. Mahkamah perlu mempertimbangkan keperluan responden mendapatkan rawatan,” katanya.
Salim berkata Musa gagal memberikan bukti rawatan dimahukannya tidak terdapat di Malaysia.
“Tidak ada rekod dihantar responden yang elektrokardiogram, ujian darah, ujian saluran jantung angigram dan polisomnografi tidak terdapat di Malaysia,” katanya.
Musa juga ada risiko melarikan diri, tambah Salim.
Amer Hamzah berkata Musa perlu menjalani rawatan susulan yang diterimanya sejak 1996.
Menurutnya lagi, Musa juga mengambil risiko pulang ke Malaysia pada Ogos 2018 untuk membantu siasatan kes jenayahnya, walaupun dinasihati tidak melakukan perjalanan jauh oleh pakar perubatan hospital London.
Pada 5 November 2018, Musa minta dibicarakan untuk 35 pertuduhan korupsi mencecah RM263 juta berkaitan pemberian konsensi balak di Sabah.
Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dan dua penjamin. – 16 Januari, 2019.
Komen