RIBUAN penyokong bola sepak yang menunggu sejak jam 3 pagi di Stadium Malawati, Shah Alam bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea menentang Thailand bertindak di luar jangkaan apabila pihak penganjur menutup kaunter jualan.
Malah tindakan penganjur yang hanya membuka kurang 10 kaunter jualan tiket berbanding 20 sebagaimana yang dijanjikan penganjur sebelum ini menaikkan lagi kemarahan mereka.
Kira-kira jam 1 petang, mereka mula bertindak liar apabila cuba merempuh pagar di kaunter jualan dan sehingga kini keadaan masih tegang kerana penyokong enggan berganjak dan menjerit di luar kaunter terbabit dan meminta ia dibuka semula.
Stadium Malawati juga tidak mampu menampung jumlah bilangan penyokong yang melebihi kapasitinya yang hanya mampu memuatkan 80,000 penonton pada satu-satu masa.
Salah seorang penyokong ketika ditemui The Malaysian Insight yang hanya mahu dikenali sebagai Fahem, 25 berkata, dia menunggu untuk mendapatkan tiket sejak jam 4 pagi.
“Saya daripada jam 4 pagi tadi sanggup tunggu di stadium tapi akhirnya jadi macam ini,” katanya.
Fahem turut menyalahkan pihak penganjur yang dilihat gagal menjalankan peranan mereka hingga menyebabkan urusan jual beli tiket tersebut tergendala.
“Saya dari Klang, saya sanggup ambil kerja syif malam semata-mata untuk beratur beli tiket, tapi kita tengok tidak ada sesiapa yang menjaga kaunter, hanya kon diletakkan. Jadi ramai yang tidak tahu macam mana perjalanan jual beli,” katanya yang masih lagi setia menunggu kaunter dibuka semula.
Sementara itu tinjauan The Malaysian Insight mendapati penyokong beratur sepanjang kira-kira 2 kilometer di luar stadium semata-mata untuk endapatkan tiket perlawanan akhir itu.
Keadaan itu juga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di sekitar perkarangan stadium berkenaan.
Manakala seorang pelajar, Danish Arman, 20 yang datang bersama abangnya daripada Kuala Lumpur semata-mata untuk membeli tiket berkata mereka telah beratur sepanjang lebih satu kilometer sejak jam 11 pagi tadi.
“Saya datang dengan abang saya, abang saya beratur dan saya pula kena tengok keadaan sekitar. Sekarang saya tak tahu macam mana,” kata Danish yang kelihatan kebingungan.
Seorang lagi pelajar, Khairul menjelaskan situasi sebenar yang dihadapinya ketika cuba mendapatkan tiket perlawanan terbabit kepada The Malaysian Insight.
Katanya beliau bersama rakannya sudah berada di stadium sejak awal pagi dan pada mulanya urusan jual beli tiket berjalan dengan tenang.
“Tapi sekitar jam 11.30 keadaan jadi tegang sebab ada yang beratur memotong barisan, dan ada juga yang berasak-asak merempuh baarisan menyebabkan keadaan jadi huru hara,” kata pelajar berusia 22 tahun itu.
Dia turut mengakui jumlah kaunter tiket yang dibuka juga memburukkan keadaan.
“Bagi saya ini salah penganjur tak urus dengan baik, mereka tak letak urus setia di setiap bahagian, bila tidak ada kawalan macam ni lah jadinya.”
Rata- rata penyokong bola sepak yang datang untuk membeli tiket juga dilihat tertanya- tanya sama ada kaunter tiket akan dibuka atau tidak kerana tiada sebarang maklumat diberikan oleh pihak penganjur.
“Saya pun tak pasti kaunter buka atau tak, sebab saya ni beratur dari luar stadium, empat jam kami beratur lepas itu tak bergerak itu yang datang sini tengok keadaan,” kata penjawat awam yang hanya mahu dikenal sebagai Nora.
Nora berkata dia sanggup memohon cuti dan datang daripada Cheras semata-mata untuk mendapatkan tiket.
“Tapi tak sangka jadi macam ini, kita beratur lama-lama, pihak penganjur tak patut buat macam ini. Kalau tutup kaunter macam ini tiket semua nak jual kat mana,” keluhnya.
Kekecohan yang timbul turut memaksa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan ke stadium terbabit bagi mengawal keadaan.
The Malaysian Insight dimaklumkan, kaunter tiket yang pada awalnya ditutup kini telah dibuka dan suasana agak terkawal.
Venue bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki itu dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya ia melibatkan pasukan negara beraksi di pentas akhir.Bagaimanapun semalam,
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan mengumumkan Stadium Shah Alam dipilih sebagai tempat perlawanan akhir bola sepak.
Orang ramai juga tidak boleh membeli tiket secara atas talian berbanding sebelum ini selain dihadkan hanya lima keping bagi setiap seorang.
FAM juga berjanji akan membuka sebanyak 20 kaunter bagi urusan pembelian tiket. – 28 Ogos, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan