Calon BN banggakan Orang Asli, disokong penuh keluarga


Noel Achariam

Rosli Bedak, 55, sepupu calon BN Ramli Mohd Noor berkata keluarga tidak menyangka Ramli akan masuk politik, dan terkejut dengan pencalonan itu tetapi akan menyokong penuh dan berkempen untuknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Januari, 2019.

KEPUTUSAN calon Barisan Nasional Ramli Mohd Noor untuk bertanding Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands mengejutkan ahli keluarga dan sanak saudaranya yang sehingga kini masih tidak percaya apa yang berlaku.

Kesemua mereka- lebih kurang dalam 100 orang- menyokong penuh Ramli supaya boleh menang PRK yang akan mengundi pada 26 Januari depan. 

Meluahkan rasa bangga kepada pesara pegawai polis itu yang jadi Orang Asli pertama merebut kerusi Parlimen, sepupunya, Rosli Bedak, 55, berkata tidak pernah ada keraguan yang Ramli akan mendapat sokongan sanak saudaranya yang tinggal di perkampungan Orang Asli, Kampung Menson.

“Dia tak pernah beritahu sesiapa yang dia masuk politik, jadi kami agak terkejut bila dapat tahu dia bertanding.  

“Kami ingat dia akan seronok bersara dan datang sesekali untuk periksa kebun durian di sini tetapi sekarang dia pilih masuk politik,” kata Rosli kepada The Malaysian Insight.

Ramli membesar di Kampung Menson, sebuah kampung yang dipenuhi ubi kayu dan ladang durian terletak kira-kira 40 minit dari bandar Tanah Rata.

Rosli berkata selalunya Ramli pulang ke kampung paling kurang tiga kali sebulan dari rumahnya di Selangor untuk melawat sanak saudara dan memeriksa kebun durian.

“Pondok buluhnya masih di sini. Kami besarkan untuk semua ahli keluarga.

“Dia sentiasa tinggal dengan kami bila dia datang sini,” katanya.

Bapa saudara Ramli, Akau Adam, 73, berkata anak saudaranya itu seorang yang berdisplin sejak muda, komited dan mengikut jejak ayahnya jadi anggota polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Januari, 2019.

Rosli berkata Ramli adalah calon yang ada peluang baik untuk menang, dan diharapkan dapat menjaga kebajikan Orang Asli sekiranya menang.

“Apa yang kurang dalam semua perkampungan Orang Asli adalah pembangunan. Kami perlukan lebih banyak jalan dalam dibina dan kami perlukan elektrik.

“Juga tidak ada banyak kerja untuk Orang Asli,” katanya.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjurut antara Ramli, M Manogaran (Pakatan Harapan) dan dua lagi calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Calon Barisan Nasional Ramli Mohd Noor cipta sejarah jadi calon Orang Asli Semai pertama bertanding kerusi Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

Bapa saudara Ramli, Akau Adam, 73, berkata anak saudaranya itu seorang yang berdisplin sejak muda dan mengikut jejak ayahnya yang juga seorang anggota polis.

“Ayahnya adalah penolong pesuruhjaya polis dan kerana itu dia pun mahu jadi polis.

“Dia juga seorang yang sangat komited dan kami semua berharap untuknya (menang),” katanya.

Tambahnya lagi, Ramli juga suka berkebun dan mempunyai lebih 100 batang pokok durian dalam kebunnya.

“Kami akan bersungguh-sungguh sokong dia dalam kempennya,” katanya.

Rumah milik Ramli Mohd Noor yang dibesarkan untuk menempatkan ahli keluarganya di Kampung Menson, Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Januari, 2019.

Cucu perempuan Ramli, Zusilaini Zamani, 25, berkata apabila datuknya diumumkan sebagai calon BN, ia jadi kebanggaan masyarakat Orang Asli.

“Bila kami dengar dia akan bertanding, kami semua sangat gembira. Dia ada sokongan semua saudara mara kami.

“Kami juga akan mula berkempen untuknya. Kami harap dia menang supaya dia boleh tolong masyarakat Orang Asli,” katanya.

Cucu perempuan Ramli, Zusilaini Zamani, 25, berkata pencalonan datuknya jadi kebanggaan Orang Asli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Januari, 2019.

Cabaran Ramli untuk meraih sokongan pengundi Orang Asli pastinya bertambah mudah dengan sokongan keluarga dan sanak saudaranya.

Bekas ketua pengarah jenayah komersial di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan itu juga adalah calon pertama keturunan Semai diletakkan BN.

Pesara polis itu juga adalah calon kedoktoran bidang pengajian perniagaan University of Malaya-Wales. – 16 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen