Bersedia hadapi 'amuk' Singapura


Zainal Rashid Ahmad

APABILA Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyentuh secara spesifik hubungan republik itu dengan Malaysia dalam ucapan Tahun Baharu 2019, ia memberikan isyarat unik pada dunia terutama Malaysia.

Mengapa Malaysia disentuh secara terperinci dan ada gambaran seakan-akan 2019 tahun diplomasi yang mencabar bagi hubungan dua hala.

Kata Hsien Loong, republik itu akan menangani semua isu-isu baharu, dan yang sedang dihadapi dengan Malaysia, secara “tenang dan konstruktif”.

Singapura dan Malaysia katanya, perlu menyelesaikan masalah tertentu dengan memelihara hubungan secara keseluruhan.

“Cara untuk melakukannya menerusi kesaksamaan dan saling menghormati, menjunjung komitmen antarabangsa, dan rule of law.”

Hsien Loong bukan orang baru. Dia masak benar mengenai sejarah hubungan Malaysia Singapura. Sebagai waris legasi Lee Kuan Yew, Hsien Loong tahu hubungan dua hala sentiasa dibayangi sejarah lampau.

Sentimen Singapura keluar Malaysia pada 1965 akan selalu membayangi sejarah Selat Tebrau. Malah, tidak mungkin sentimen itu padam sampai bila-bila. Dalam apa juga persefahaman atau perbezaan, kedua-dua negara masih belum move on dengan sentimen 1965.

Secara diplomatik, Hsien Loong tahu suaranya akan sampai ke Malaysia. Tidak hairanlah, amanat Tahun Baharu itu turut menyebut:

“Warga Singapura generasi lama pasti ingat cara kita menangani isu-isu lain dalam hubungan dua hala sebelum ini.

“Setiap kali kita menghadapinya, kita akan bersatu sebagai satu negara, dan menyuarakan pendirian kita dengan tenang, tapi tegas,” katanya.

Ayat “tenang dan tegas” tentunya konotasi yang menarik untuk diselami isyarat sebenar yang sedang dibahasakan Singapura.

Benarkah Malaysia dan Singapura kini kembali berkrisis?

Apakah sejak Pakatan Harapan (PH) berkuasa, rentak hubungan antara dua negara Tambak Johor ini sedang menuju jalan tegang?

Jawapannya, ya. Apabila projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dihentikan sementara, serta isu harga air yang dibangkitkan, ia petanda bibit-bibit ketegangan bermula.

Pertemuan diplomatik antara dua menteri luar di Singapura pada 10 Disember, nampaknya gagal menemukan rentak diplomatik yang dicari. Isu laluan udara bagi Lapangan Terbang Seletar dan laluan Maritim di perairan Tuas, kelihatan menemukan jalan buntu.

Kenyataan bersama menyebut: Malaysia dan Singapura bersetuju kedua-dua pihak akan menggantungkan secara serentak pelaksanaan Kawasan Larangan (RA) oleh Malaysia dan pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) oleh Singapura untuk Lapangan Terbang Seletar. Tempoh penggantungan serta-merta selama sebulan.

Ini kenyataan bersama antara Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Banyak spekulasi dikaitkan mengenai krisis dua hala ini. Isu utama dibualkan secara senyap ialah: Kerajaan PH tidak gembira kerana Singapura enggan membantu siasatan 1MDB. Terutama, akses untuk Putrajaya menyiasat secara terperinci status bon RM3 bilion yang disyaki disimpan di bank republik itu.

Malah, dalam banyak keadaan, Singapura tidak memberikan kerjasama untuk pihak berkuasa Malaysia menjejak jenayah kewangan 1MDB yang turut membabitkan banyak transaksi di pulau itu.

Jumaat lalu, belum pun 24 jam selepas pertemuan dua hala, Singapura memprotes bahawa perairannya diceroboh lima kapal Malaysia. Ia satu dakwaan yang ironis. Petanda tiada semangat persefahaman dicapai dalam rundingan peringkat menteri sehari sebelumnya.

Malah, kapal rombongan Menteri Besar Johor Osman Sapian yang membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman pun turut dituduh menceroboh. Polis Singapura merakam dan menyiarkan foto kapal itu.

“Lima kapal Malaysia berada dalam perairan Singapura di Tuas pada jam 6 petang, Rabu, sehari selepas kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani pertikaian maritim.

“Dua kapal kekal berada dalam perairan Singapura pada jam 6 petang Khamis (semalam), kata Pihak Berkuasa Pelabuhan Maritim (MPA) ketika menjawab pertanyaan media,” menurut laporan di Singapura.

Nampaknya sirih bertepuk pinang menari. Pasti akan ada ketegangan berterusan dalam sebulan ini. Perang diplomasi akan melalui takah baru. Malah, akan dibayangi sejarah lapuk. Sentimen Singapura negara Kiasu mungkin membara semula di Malaysia.

48 jam kemudian, pada 12 Disember, keadaan diplomatik makin teruk. Singapura menampakkan emosi marah dan mahu terus bertindak kasar. Isu kapal Osman dijadikan alasan besar hingga ke peringkat protes diplomatik, walaupun tiada Nota Bantahan dikemukakan secara rasmi oleh Kedutaan Singapura.

The Straits Times menyiarkan kenyataan tidak senang Kementerian Luar Singapura: “Penangguhan ini kerana pencerobohan kapal Malaysia di perairan di Tuas, Rabu lalu.”

Langkah drastik Singapura membatalkan mesyuarat Iskandar Malaysia 16 Disember, jelas satu tindakan provokasi diplomatik.

Osman tidak berdiam diri. 24 jam kemudian membalas reaksi dengan sinis.

“Saya tidak masuk kawasan Singapura. Tindakan batal mesyuarat hanya satu alasan,” katanya.

Perang diplomatik dijangka berterusan. Malah, banyak isu lain akan dikaitkan dan debatnya akan bertele-tele. Ia akan jadi hujah yang meleret-leret apabila kedua-dua pihak saling tuduh menuduh.

Hakikatnya, sebagai negara pengasas Asean, Malaysia dan Singapura kena move on. Tidak perlu terlalu kebudak-budakan. Nanti generasi baharu akan menyindir kuasa diplomasi macam di tangan BBNU (budak baru nak up).

Itu belum masuk isu ruang udara. Syarikat penerbangan Firefly menanggung kerugian RM15 juta sebulan sejak Disember lalu. Isu ruang udara di Lapangan Terbang Seletar pasti menjejaskan perniagaan Firefly yang menerbangkan 20 perjalanan sehari dari KLIA, Kuantan dan Pulau Pinang.

Nampaknya, dari lautan sampai udara, Malaysia dan Singapura sedang bersengketa. Dalam sebulan ini, pasti banyak lagi krisis hitam putih akan menyelubungi suasana diplomatik kedua-dua negara. – 16 Januari, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen