Siasatan kematian Beng Hock masih berjalan, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Kematian Teoh Beng Hock menggemparkan negara kerana ia berlaku dalam situasi penuh meragukan bawah pengawasan penuh agensi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menafikan dakwaan yang polis menutup siasatan kematian Teoh Beng Hock.

Fuzi memberitahu wartawan yang siasatan masih berjalan dan pihaknya kini akan meneliti beberapa cadangan diberi Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kami terima arahan daripada AGC dan pasukan polis akan melakukan cadangan tersebut,” katanya pagi ini.

Dakwaan yang pihak berkuasa cuba melindungi sesuatu dalam kes itu turut dinafikan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin awal minggu ini.

Turut didedahkan yang satu pasukan khas polis sudah dibentuk pada 17 Julai 2018 diketuai Timbalan Pesuruhjaya Polis K Manoharan untuk siasatan semula kes itu.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009.

Beliau ke bangunan tersebut untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Teoh yang ketika itu adalah pembantu kepada Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah maut selepas terjatuh ke tingkat lima.

Pada 2011, majistret yang juga koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan “penghakiman terbuka” untuk kes tersebut yang menjadikan kematian Teoh tidak dianggap bunuh diri ataupun pembunuhan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2014 menolak penghakiman terkhilaf tersebut dan memutuskan kematian Teoh disebabkan “tindakan seorang atau beberapa orang” dan mengarahkan polis melakukan siasatan semula. – 16 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen