SELEPAS dikritik kerana mengedar beg sekolah memaparkan wajahnya, Adun Jeram Shaid Rosli mengedar pakaian seragam dengan jenama sendiri pula kepada pelajar sekolah di kawasannya.
Pakaian seragam sekolah yang diedarkan oleh Adun Bersatu tersebut kepada murid di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3 itu memaparkan label “sumbangan YB Shaid Rosli” di kolar baju.
“Baju ini ada jenama sumbangan YB Shaid Rosli. Jadi benda itu tidak nampak cuma ada di kolar saja,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada 1,600 murid di sekolah tersebut.
Beliau pada asalnya merancang untuk mengedarkan pakaian tersebut sebelum sesi sekolah dibuka tetapi bekalan itu lambat tiba.
“Sebaik sampai, kita terus ambil saiz murid dan terus edar,” katanya, menambah RM120, 000 dibelanjakan untuk pemberian beg sekolah dan seragam sekolah itu.
Sekitar 10,000 murid sekolah rendah di DUN Jeram akan menerima seragam sekolah tersebut secara berperingkat. Pelajar lelaki akan diberikan baju kemeja dan murid perempuan baju kurung.
Shaid minggu lalu dikecam pengguna Internet selepas gambar penyerahan beg sekolah yang memaparkan wajahnya tular di media sosial.
Ini memandangkan tindakan itu sama seperti amalan pemimpin Barisan Nasional yang mengagihkan bantuan seperti beras dan baja dalam bungkusan memaparkan wajah pemimpin parti.
Tindakan seperti itu menjadi sasaran kritikan pemimpin Pakatan Harapan ketika menjadi pembangkang.
Susulan kecaman itu, Shaid menjelaskan beg sekolah dengan potret wajahnya itu “tersalah cetak” oleh pengilang di China.
Shaid juga mendakwa beg tersebut mendapat permintaan tinggi di kalangan ibu bapa dan murid yang memerlukan.
“Saya tahu penduduk di kawasan saya, siapa yang susah dan siapa yang senang sebab itu beg sekolah itu saya tidak beri kepada semua. Kita tahu siapa yang kurang berkemampuan.
“Sekolah hargai dan ada ibu bapa yang mesej saya ucap terima kasih bantu mereka tukar beg anak mereka yang sudah uzur dan sebagainya.
“Kesilapan sebelum ini ada hikmahnya. Sebelum ini orang tidak kenal DUN Jeram, sekarang satu Malaysia sudah tahu pasal DUN Jeram. Yang penting niat kita hendak bantu orang,” katanya. – 16 Januari, 2019.
Komen