SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa mengutuk serangan pengganas di Nairobi, ibu negara Kenya yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, lapor Xinhua.
Jurucakap pejabat media Guterres, Stephane Dujarric, berkata ketua PBB itu mengikuti rapat perkembangan di sana dan mengucap takziah kepada keluarga mangsa serta berharap mereka yang cedera segera sembuh.
Awal Selasa, kumpulan al-Shabab menyerang sebuah hotel dan kompleks pejabat di Nairobi dan sekurang-kurangnya enam maut dan beberapa lagi cedera. Penyerang bersenjatakan raifal dan bom tangan.
Letupan kuat diikuti bunyi tembakan raifal menggegarkan bandar raya itu ketika kumpulan terbabit menyerang kompleks berkenaan.
Presiden Perhimpunan Agung PBB, Maria Fernanda Espinosa Garces turut mengutuk serangan itu dan menyuarakan perasaan simpati terhadap mangsa, keluarga mereka serta kerajaan dan rakyat Kenya.
“Tiada sebarang alasan bagi mewajarkan serangan ganas dan kejam ke atas orang awam yang tidak berdosa,” katanya menerusi jurucakap beliau, Monica Grayley. – Bernama, 16 Januari, 2019.
Komen