KUMPULAN terkenal dari Ireland, The Cranberries melancarkan lagu pertama daripada album terakhirnya semalam, tepat setahun selepas penyanyi utamanya Dolores O’Riordan ditemui mati lemas dalam tab mandi sebuah hotel di London.
Kumpulan itu akan melancarkan album kelapan dan terakhir berjudul “In the End” pada April, dan selepas itu, kumpulan rock terkenal pada 90-an dengan lagu hits seperti “Zombie”, “Linger” dan “Dreams” akan berpecah selepas tiga dekad bersama.
Ahli kumpulan Noel Hogan, Mike Hogan dan Fergal Lawler selesai merakamkan 11 lagu baharu menggunakan vokal demo O’Riordan yang siap pada Disember 2017, kata mereka di Instagram.
“Kami ingat bagaimana Dolores sangat bersemangat untuk membuat rakaman ini dan mengadakan pertunjukan secara langsung. Dan kami sedar perkara paling bermakna patut dilakukan ialah menyiapkan album ini yang kami mulakan bersamanya,” kata kumpulan itu.
“Ia satu proses yang sangat emosional bagi kami. Apatah lagi kami tahu kami tidak akan mungkin dapat memainkan lagu ini secara langsung.
“Tetapi kami merasakan inilah yang Dolores mahukan.”
Single utama itu mempunyai elemen Cranberries, lagu yang sedih tetapi muziknya pantas yang menampilkan suara O’Riordan berulang kali menyanyikan lirik It’s all over now”. – AFP, 16 Januari, 2019.
Komen