PALESTIN akan membida bagi mendapatkan keahlian penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), walaupun ia bakal dihalang oleh Amerika Syarikat (AS).
Ketika ini, Palestin tidak mempunyai status keahlian penuh, sebaliknya hanya negara pemerhati.
Status keahlian penuh akan membolehkan Palestin mendapat sokongan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa.
Bagaimanapun, sebarang permohonan untuk menjadi ahli penuh PBB perlu mendapat kelulusan Majlis Keselamatan, sebelum dirujuk kepada Perhimpunan Agung.
AS yang juga anggota tetap Majlis Keselamatan memiliki kuasa veto untuk menolak permohonan Palestin berkenaan.
“Kami tahu, kami akan berdepan dengan undi veto AS tetapi ia tidak akan menghalang kami daripada mengemukakan permohonan untuk memperoleh keahlian penuh,” kata Menteri Luar Palestin Riyad Al Maliki kepada wartawan.
Riyad berkata Palestin akan memulakan proses melobi ahli Majlis Keselamatan bagi mendapatkan sokongan terhadap permohonan kepada PBB itu dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Palestin pernah mengemukakan permohonan sama pada 2011, tetapi tidak pernah dibentangkan kepada Majlis Keselamatan untuk proses undian. – AFP, 16 Januari, 2019.
Komen