Beri kami pembangunan dan kerja, kata Orang Asli Cameron Highlands


Noel Achariam

Masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands mahukan kemudahan lebih baik, rumah dan pekerjaan daripada wakil rakyat baharu yang bakal dipilih. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Januari, 2019.

KEMUDAHAN lebih baik, rumah untuk keluarga yang sedang berkembang dan pekerjaan adalah apa yang masyarakat Orang Asli Kampung Tiang di Cameron Highlands mahukan daripada ahli Parlimen baharu yang bakal dipilih pada pilihan raya kecil (PRK) 26 Januari depan.

Bagi penduduk kampung ini yang kebanyakannya bekerja sebagai petani separuh masa, keperluan itu selain sistem perparitan lebih baik dan bekalan elektrik, adalah keperluan mendesak mereka.

Mereka tidak begitu peduli tentang parti apa yang bertanding asalkan mereka dapat wakil rakyat yang baik untuk menjaga kebajikan mereka.

Bagaimanapun, nampaknya mereka cenderung kepada calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran.

Seorang Orang Ali yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata sebelum ini mereka lebih menyokong Barisan Nasional (BN) kerana gabungan itu menyediakan beberapa kemudahan untuk mereka.

“Kami faham mereka (BN) tidak lagi dalam kerajaan persekutuan, jadi kami perlu buat keputusan.

“Biasanya Tok Batin akan panggil mesyuarat sebelum pilihan raya, kemudian kami akan putuskan siapa yang akan diundi.

“Kadangkala kami akan bantah pilihan Tok Batin tetapi biasanya kami akan ikut dia,” kata Wan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tiang.

PRK itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Manogaran, calon BN Ramli Mohd Nor, dan dua calon bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Calon BN pada PRK Cameron Highland Ramli Mohd Nor juga daripada kalangan masyarakat Orang Asli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

PRK itu diadakan selepas mahkamah pilihan raya pada November membatalkan keputusan PRU14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas mendapati calon BN yang menang C Sivarraajh terbabit dalam aktiviti membeli undi dan politik wang.

Sivarraajh juga digantung daripada bertanding dalam pilihan raya untuk lima tahun.

Wan, sama seperti petani separuh masa yang lain berkata isu lain yang perlu ditangani ialah mendapatkan kerja tetap untuk mereka.

“Saya dibayar RM600 sebulan. Dan jika saya tidak pergi kerja, majikan akan tolak RM20 sehari.

“Jadi apa yang kurang ialah pekerjaan. Itu yang kebanyakan kami perlukan,” katanya.

Wan berkata mereka membangkitkan kebimbangan itu dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tetapi tiada tindakan.

“Sejak 2002 kami mengadu tentang sistem perparitan dan tanah runtuh di kawasan ini.

“Mereka datang dan buat kerja sikit tetapi itu tidak cukup.”

Terdapat kira-kira 200 orang tinggal di kampung yang terletak kira-kira 30 minit dari Tanah Rata.

Penduduk tinggal di dalam 18 rumah buluh dan 30 rumah kos rendah yang dibina oleh kerajaan terdahulu.

Seorang lagi penduduk kampung Rosmi berkata mereka mengundi BN sebelum ini tetapi kami ini akan mempertimbangkan pilihan sebelum memilih calon.

“Penduduk kampung undi BN kerana mereka beri kami rumah tetapi ia tidak cukup kerana keluarga kami bertambah.

“Dan bila kami kahwin dan ada anak sendiri, kami perlu dapatkan rumah sendiri.

“Kami tidak boleh tinggal bersesak-sesak dalam satu rumah yang kecil. Kami sudah bangkitkan isu ini kepada Jakoa,” katanya.

Rosmi berkata kali ini mereka mungkin memilih parti selain BN.

“Kami tidak peduli sangat tentang duit. Apa yang kami mahu ialah tanah untuk berkebun dan rumah untuk keluarga.

“Kami akan beri orang itu peluang dan jika dia tidak cemerlang kami akan ubah orang lain pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Seorang lagi penduduk dikenali dengan nama Kasim, berkata beliau mungkin tidak keluar mengundi kerana janji-janji kerajaan yang tidak ditepati.

“Kami bangkitkan banyak isu tetapi tidak diselesaikan. Kerajaan terdahulu kata tidak ada peruntukan.

“Setiap lima tahun mereka datang ke sini sebelum pilihan raya tetapi lepas itu kita langsung tidak nampak mereka lagi,” katanya. – 16 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen