PUTRAJAYA tidak membenarkan plastik kotor diimport sebagaimana didakwa pihak tertentu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Dalam sesi ceramah awam mengenai pengurusan sisa plastik hari ini, Zuraida berkata kementerian hanya mengimport plastik bersih yang boleh diproses dan dieksport ke syarikat antarabangsa lebih besar.
“Tujuan sesi hari ini adalah untuk menjelaskan dan memastikan orang ramai memahami isu ini dan akan menjelaskan kepada yang lain agar tidak menuduh kerajaan mengimport plastik kotor,” katanya di Putrajaya.
Beliau berkata perkara berkaitan pengurusan sisa plastik menjadi perhatian pada Jun apabila Malaysia dilaporkan sebagai pengimport utama plastik sekerap AS tahun lepas, selepas China mengharamkan import kebanyakan bahan kitar semula.
Berikutan pendedahan ini, kementerian memeriksa tapak pelupusan di Kuala Langat, Selangor dan menemui sampah dalam jumlah yang besar serta kilang haram memproses sisa plastik.
Walaupun beberapa kilang ditutup oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), masih ada yang menjalankan operasi haram mereka.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Pulau Indah di Klang, Selangor menjadi salah satu kawasan pembuangan terbesar di rantau ini dengan 30 hingga 40 kilang memproses sisa buangan.
Zuraida berkata hari ini kementerian akan mengkaji semula kompaun bagi kilang pemprosesan sisa haram yang kini mempunyai hukuman denda sebanyak RM300.
Beliau juga berkata aktiviti pemprosesan sisa plastik kepada produk pengguna adalah perniagaan menguntungkan jika ia dikawal selia oleh kerajaan memandangkan ia bernilai RM30 bilion.
“Dengan peraturan baru yang akan kita ambil selepas mengkaji dan menyemak semula aktiviti, kita berasakan ia adalah perniagaan berpotensi yang kita boleh rancang secara sistematik dengan teknologi tinggi.
“Kilang itu harus ditempatkan di tapak perindustrian yang betul untuk dipantau dan berpotensi membawa masuk pendapatan kepada negara,” kata Zuraida. – 15 Januari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen