Warga Felda Sungai Koyan masih kenang kebaikan Najib


Chan Kok Leong

Kebanyakan penduduk Felda Sungai Koyan yang ditemui berpendapat keadaan mereka lebih baik semasa zaman kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak mungkin berdepan puluhan tuduhan rasuah, tetapi dakwaan beliau menggelapkan jutaan ringgit langsung tidak menjejaskan popularitinya di kalangan peneroka Felda di Sungai Koyan, Cameron Highlands.

“Beliau hanya dituduh rasuah. Ia tidak sama dengan pembunuhan atau liwat,” kata Mohd Fadzil Suparman, pemimpin Umno tempatan di Koyan 2.

Fadzil berkata ia “biasa” bagi para pemimpin untuk mempunyai sejumlah besar dana yang diperlukan untuk menjaga pengikut mereka.

“Mana-mana pemimpin yang biasa perlu membuat duit tambahan untuk memastikan semua perkara berjalan lancar,” kata lelaki berusia 49 tahun itu.

Generasi kedua peneroka berkata ia adalah budaya Umno dan lama wujud dalam parti itu, sambil menambah ia juga disedari bekas presiden dan perdana menteri semasa Dr Mahathir Mohamad.

Lebih penting lagi, beliau berkata walaupun segala kritikan yang dilemparkan terhadap Najib, peneroka Felda berada dalam keadaan lebih baik semasa pentadbirannya.

“Harga kelapa sawit lebih tinggi dan sentiasa ada bonus,” kata Fadzil selepas habis rokok ketiganya di pinggir jalan di sepanjang Jalan Tersang-Sungai Koyan.

Najib dijangka melawat kawasan Felda di Jelai minggu ini dan berkempen untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Bagaimanapun, kunjungan itu dilihat tidak mendapat restu dari ibu pejabat Umno.

Sejak didakwa dengan 39 tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, ahli Parlimen Pekan itu sering mengulas isu yang melanda kerajaan Pakatan Harapan di media sosial.

Beliau juga mengadakan ceramah dan melawat para penyokong akar umbi.

Seorang lagi penduduk Koyan, Kama Norrizzat Che Ibrahim berkata kebanyakan penduduk di sini masih menyokong Najib.

Mohd Fadzil Suparman (kanan) berkata kesalahan rasuah yang dihadapi oleh Najib Razak tidak sama dengan kes pembunuhan atau liwat. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

“Orang ramai mengatakan pemimpin kerajaan baharu (daripada Amanah dan Bersatu) tidak tinggal sembahyang. Tetapi ia tidak membantu kami di sini kerana kami mempunyai lebih banyak isu ekonomi sejak kerajaan baharu mengambil alih,” kata pekerja Felda berusia 37 tahun itu.

“Najib memberikan BR1M dan bagi kami, ia bukan rasuah kerana kami memang berhak mendapatnya,” kata beliau.

Pesara berpangkat lans koperal, Wahid Mansor berkata orang di sini masih ingat perkara baik mengenai Najib.

“Harga minyak sawit naik semula ketika beliau mengambil alih pada 2009 dan selalu memberi bonus kepada peneroka Felda,” kata lelaki berusia 85 tahun itu.

“Memang benar beliau mempunyai kelemahan peribadi dan kerajaan berpecah tetapi bukan salah parti,” kata Wahab, merujuk kepada masalah Felda.

Seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, berkata penduduk di situ tidak nampak kesilapan dan rasuah dalam BN.

“Mereka tidak mahu mempercayai apa yang mereka lihat. Mata dan telinga mereka tertutup  terhadap sebarang perbuatan rasuah. Mereka hanya percaya pada ‘kapal layar’,” kata bekas pegawai Kementerian Pertanian dari Kuala Medang.

Perikatan, pelopor kepada BN, menggunakan “kapal layar” sebagai logo sebelum beralih kepada “dacing” BN.

Kembali di gerai Koyan 2, seorang wanita melambaikan tangan kepada Fadzil semasa beredar. Pemilik gerai itu berkata wanita berkenaan, yang merupakan isteri kepada setiausaha peribadi Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, sudah membayar semua harga minuman dan makanan pelanggan.

“Inilah gunanya pemimpin,” kata Fadzil. – 16 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen