PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Jepun hari ini nafi terlibat dalam pemberian rasuah yang disyaki dibuat sebelum Tokyo dipilih jadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.
Penyiasat Perancis mendakwa Tsunekazu Takeda terlibat ketika mereka menyiasat dua pembayaran berjumlah S$2.8 juta (RM8.5 juta) yang dibuat sebelum ibu kota Jepun itu dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik.
Menerusi siaran langsung selama tujuh minit di televisyen, Takeda berkata: “Saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana proses membuat keputusan mengenai pembayaran tersebut.”
Takeda juga berkata telahpun menyatakan yang beliau tidak bersalah ketika disoal siasat oleh pihak berkuasa Peranis pada 10 Disember lalu.
“Saya kesal masalah ini mungkin akan menjejaskan Olimpik,” tambahnya, sambil berikrar akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Takeda, 71, adalah seorang bekas ahli sukan showjumper Olimpik juga menrupakan ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Jawatankuasa etika IOC berkata ia akan terus memantau situasi ini tetapi menegaskan yang Takeda tidak bersalah sehinggalah terbukti bersalah. – AFP, 15 Januari, 2019.
Komen