Taliban mengaku lakukan serangan trak bom di Kabul


Empat terbunuh dan lebih 100 cedera, dalam serangan terbaru letupan trak di Kabul di mana Taliban mengaku bertanggungjawab melakukannya. – Gambar fail EPA, 15 Januari, 2019.

TALIBAN hari ini mengaku bertanggungjawab atas insiden letupan trak di sebuah kawasan perumahan di Kabul menyebabkan sekurang-kurangnya empat terbunuh dan lebih 100 cedera, dalam serangan terbaru di ibu kota Afghanistan itu.

Dalam satu mesej, kumpulan militan itu juga berjanji akan melakukan lebih banyak serangan di bandar itu sebagai respons langsung terhadap pelantikan bekas perisik dan veteran anti Taliban Amrullah Saleh sebagai menteri dalam negeri.

Letupan petang semalam berhampiran kawasan yang dikawal ketat itu mengejutkan Kabul dan berlaku ketika diplomat berusaha keras mengakhiri perang 17 tahun di Afghanistan, yang dianggap sebagai konflik paling teruk di dunia pada 2018.

Kuasa letupan kuat itu terasa di seluruh bandar menyebabkan pada awalnya berlaku kekeliruan di mana lokasi sebenar serangan berkenaan. Ia meretakkan tingkap di rumah dan kedai berhampiran.

Jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid memberitahu wartawan menerusi WhatsApp bahawa empat penyerang meletupkan trak dilengkapi bahan letupan sebelum masuk ke Perkampungan Hijau dan
membunuh ramai” warga asing.

Empat disahkan maut dan 113 cedera, kata menteri kesihatan. Kebanyakan mangsa ialah orang awam Afghanistan. – AFP, 15 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen