Najib akan berkempen di Cameron Highlands minggu ini 


Noel Achariam Christopher Rabin

Bekas perdana menteri Najib Razak dijangka akan melawat Kampung Raja sebagai hentian pertamanya dalam kempen di Cameron Highlands, Khamis ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2019

BEKAS perdana menteri Najib Razak akan turun berkempen untuk Barisan Nasional di Cameron Highlands minggu ini, iaitu ketika tempoh berkempen menjelang pilihan raya pada 26 Januari. 

Maklumat daripada petugas jentera BN memaklumkan, ketibaan Najib di kawasan Parlimen Pahang itu dijadualkan pada Khamis dan hentian pertamanya adalah di Kampung Raja, dan dijangka akan berada di kawasan Parlimen itu selama tiga hari. 

Sementara itu, calon Pakatan Harapan M Manogaran berkata, beliau tidak terganggu dengan kehadiran bekas pengerusi BN itu, kerana sesiapa sahaja bokeh membantu kempen pilihan raya. 

“Itu adalah hak beliau untuk berkempen, saya serahkan kepada rakyat untuk memilih,” kata ahli politik DAP itu selepas menghadiri sambutan pesta Ponggal di kuil Sri Subramaniyar di Tanah Rata hari ini. 

Najib yang berdepan dengan 36 pertuduhan rasuah berhubung dana 1Malaysia Development Berhad dan kerana mengubah laporan audit syarikat pelaburan negara itu sering muncul di media sosial mengkritik kerajaan PH. 

Beliau masih lagi memegang jawatan sebagai ahli Parlimen Pekan dan ketua bahagian Umno Pekan.  

Calon BN pada pilihan raya kecil Cameron Highlands merupakan Orang Asli, Ramli Mohd Nor yang pertama kali bertanding. Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan dua calon bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Manogaran turut mencabar menteri besar Wan Rosdy Wan Ismail untuk menyelesaikan semua isu yang dihadapi pengundi.

Ia termasuklah masalah Lesen Menduduki Sementara (TOL) dan lesen penjaja.

“Adun Tanah Rata telah membangkitkan isu berkenaan kepada majlis tempatan namun tiada tindakan,” kata Manogaran dan menggesa Wan Rosdy bertemu dengan Adun DAP Chiong Yoke Kiong berhubung perkara itu.

DAP memegang kawasan kerusi Tanah Rata yang merupakan salah satu dariapda dua kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands. Satu lagi kerusi, Jelai, merupakan di bawah Wan Rosdy dan merupakan kubu kuat BN. – 15 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen