PENGELUAR kapal terbang Amerika Syarikat, Boeing Company (Boeing) pada Isnin memuji pihak berkuasa Indonesia kerja berjaya menemui kotak hitam pesawat Lion Air Penerbangan 610 yang terhempas di Laut Jawa pada Oktober lalu yang mengorbankan semua 189 penumpang.
Menurut agensi berita Xinhua memetik kenyataan Boeing, pengeluar pesawat itu menyatakan ia amat menghargai kerja keras pasukan siasatan bagi mengesan kotak hitam yang menyimpan rakaman suara kokpit (CVR) pesawat malang itu.
“CVR merakam transmisi radio dan bunyi di dalam kokpit seperti suara juruterbang, bunyi penggera serta bunyi bising pesawat atau enjin,” kata Boeing.
Akhbar Kompas pada Isnin memetik pegawai Indonesia berkata, CVR Boeing 737 itu ditemui berhampiran lokasi nahas pada 9.10 pagi waktu tempatan dan penemuan itu akan membantu penyiasat menentukan bagaimana dan mengapa Lion Air Penerbangan 610 terhempas hanya kira-kira 13 minit selepas berlepas dari Jakarta.
CVR itu adalah satu daripada dua kotak hitam yang dipasang pada pesawat penumpang Boeing 737 MAX 8 manakala satu lagi kotak hitam merekodkan data penerbangan, sudah ditemui beberapa hari selepas nahas berlaku.
Boeing berjanji akan mengambil semua langkah bagi membantu sepenuhnya siasatan Indonesia.
“Sewaktu siasatan diteruskan, Boeing akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat yang menjadi penasihat teknikal bagi membantu Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia,” menurut kenyataan itu.
Penerbangan 610 Lion Air itu berlepas dari Lapangan Terbang Sukarno-Hatta di Jakarta menuju ke bandar Pangkal Pinang, bandar terbesar di Pulau Bangka Belitung sebelum ia terhempas ke laut dekat Karawang, kira-kira 51 kilometer ke timur Jakarta pada 29 Oktober 2018.
Ketika ini lebih 200 Boeing 737 Max beroperasi di seluruh dunia. – Bernama, 15 Januari, 2019
Komen