Universiti Al Azhar batal buang pelajar perempuan berpeluk


Dalam satu video yang tular awal bulan ini, seorang lelaki dirakam membawa sejambak bunga sambil melutut di depan seorang wanita di Universiti Al Azzhar dipercayai bagi melamarnya, sebelum memeluk kekasihnya itu. – Gambar Facebook, 15 Januari, 2019.

UNIVERSITI Al Azhar di Kaherah membatalkan keputusannya memecat seorang pelajar perempuan yang dirakam memeluk teman lelakinya, selepas seorang ulama terkemuka negara itu campur tangan.

Dalam satu video yang tular awal bulan ini, seorang lelaki dirakam membawa sejambak bunga sambil melutut di depan seorang wanita dipercayai bagi melamarnya, sebelum memeluk kekasihnya itu.

Pada Sabtu lalu, universiti itu memutuskan untuk menyingkir pelajar perempuan itu, namun dua hari kemudian, imam besar Al Azhar, Ahmed Al Tayeb menggesa lembaga disiplin menimbangkan semula hukuman berkenaan.

Ketika mengeluarkan gesaan itu, Ahmed berkata ia bagi kepentingan masa depan pelajar terbabit yang masih muda, walaupun mengakui aksi di luar kampus itu tidak boleh diterima sama sekali, selain bercanggah dengan agama serta budaya masyarakat.

Selepas mesyuarat semalam, lembaga disiplin memutuskan membatalkan keputusan awal berkenaan, namun sebaliknya, mengambil keputusan melarang pelajar perempuan itu menduduki separuh daripada peperiksaannya.

“Penarikan keputusan itu juga dibuat selepas pelajar berkenaan melahirkan rasa kesal mengenai kejadian itu dan berjanji untuk mematuhi peraturan dan etika ditetapkan,” kata universiti dalam satu kenyataan. – AFP, 15 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen