Guru mogok di Los Angeles, setengah juta pelajar terjejas


Lebih 30,000 guru di sekolah awam di Los Angeles mogok semalam sebagai desakan terhadap gaji lebih baik, saiz kelas lebih kecil dan lebih ramai pendidik. – Gambar EPA, 15 Januari, 2019.

LEBIH 30,000 guru di sekolah awam di Los Angeles mogok dan tidak mengajar semalam sebagai desakan terhadap gaji lebih baik, saiz kelas lebih kecil dan lebih ramai pendidik.

Mogok itu – yang pertama dalam tempoh 30 tahun – menjejaskan kira-kira 500,000 pelajar di daerah kedua terbesar negara itu, dengan rundingan sepanjang minggu lalu gagal mencapai kata sepakata.

Tindakan itu dipantau rapat oleh persatuan guru di seluruh negara yang terbabit dalam rundingan buruh dan mempertimbangkan mengadakan mogok.

“Kami di sini, berhujan di negara terkaya di dunia, di negeri terkaya di negara ini, di negeri di mana biru (Demokrat) dan bandar yang penuh jutawan – di mana guru terpaksa bermogok untuk mendapatkan gaji asas demi pelajar kami,” kata Ketua Persatuan Guru Bersatu Los Angeles Alex Caputo-Pearl pada sidang akhbar.

Walaupun persatuan guru dan jabatan pendidikan daerah Los Angeles bersetuju bahawa saiz kelas – sesetengahnya lebih 40 murid – perlu dikecilkan, gaji guru perlu dipertingkatkan dan lebih ramai staf sokongan diperlukan, mereka tidak dapat melaksanakannya kerana pembiayaan.

Satu tawaran yang disemak semula dihantar pada Jumaat dan mendesak kira-kira AS$24 juta pembiayaan dan lebih 1,200 guru untuk tahun persekolahan akan datang, ditolak.

Walaupun mogok itu berlaku, 1,240 sekolah di seluruh negeri itu masih dibuka dengan kelas dikendalikan oleh pentadbir dan guru ganti.

Pada musim bunga lalu, kumpulan guru turut mogok di West Virginia kerana gaji rendah dan kos penjagaan kesihatan meningkat. – AFP, 15 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen