Syarikat utiliti fail bankrap susulan kebakaran hutan California


Syarikat utiliti yang terbabit dalam kebakaran api liar di California akan memfailkan perlindungan bankrap pada hujung bulan ini ketika berdepan tuntutan saman AS$30 bilion. – Gambar AFP, 15 Januari, 2019.

PACIFIC Gas dan Electric (PG&E), syarikat utiliti yang terbabit dalam kebakaran api liar di California yang menyebabkan ramai maut, semalam berkata ia akan memfailkan perlindungan bankrap pada hujung bulan ini.

Syarikat berpangkalan di San Francisco itu berkata keputusannya untuk membuat penyusunan semula di bawah Bab 11 berkait dengan tuntutan lebih AS$30 bilion dihadapinya berhubung kebakaran akibat api liar di utara California pada 2018 – bencana paling buruk dalam sejarah moden negeri itu – yang menyebabkan 86 orang maut.

Syarikat itu juga disaman berhubung kejadian kebakaran pada 2017 di wilayah wain di utara California yang menyebabkan 40 maut.

“Syarikat hari ini menyediakan notis awalan 15 hari yang diperlukan oleh undang-undang California dan pemilik Syarikat Pacific Gas and Electric berhasrat untuk memfailkan petisyen untuk menyusun semula di bawah Bab 11 Kod Bankrap AS pada 29 Januari,” kata satu kenyataan.

Katanya, pemfailan kebankrapan itu menyebabkan saham jatuh 52% pada Isnin, tetapi tidak menjejaskan perkhidmatan elektrik dan gas asli kepada 16 juta pelanggannya di California.

PG&E berdepan masalah apabila kebakaran besar di California berlalu dan dikatakan sebahagian peralatan lamanya mungkin menjadi antara penyebab.

Satu tindakan saman berkumpulan difailkan pada Disember oleh mangsa, menuduh syarikat itu menyebabkan kebakaran yang memusnahkan keseluruhan bandar itu.

Tuntutan saman itu menyatakan PG&E selama ini gagal melakukan penyelenggaraan dengan sempurna, membaiki dan menggantikan peralatannya dan ia sikap yang tidak boleh dimaafkan hingga mencetuskan kebakaran. – AFP, 15 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen