Jutaan penganut Hindu di India sempena upacara keagamaan terbesar dunia


Festival Kumbh Mela di Allahabad dijangka menarik 100 juta penganut Hindu sepanjang tempoh 48 hari akan datang, dengan lautan penganut akan berkhemah di sepanjang tebing sungai. – Gambar EPA, 15 Januari, 2019.

PERHIMPUNAN agama terbesar berlangsung di India dengan jutaan penganut Hindu mandi di sungai keramat di negara itu sempena Kumbh Mela.

Penganjur menjangkakan festival keagamaan di Allahabad bakal menarik 100 juta penganut sepanjang tempoh 48 hari akan datang, dengan lautan penganut akan berkhemah di sepanjang tebing sungai.

Kota purba di utara Uttar Pradesh itu terletak di sepanjang tebing sungai Ganges, Yamuna dan sungai mistik Saraswati.

Pertemuan tiga sungai itu yang dikenali sebagai Sangam – dianggap suci oleh penganut Hindu untuk mandi ketika Kumbh bagi membantu mencuci dosa dan membawa keselamatan.

Tebing sungai itu berubah wajah menjadi bising dan penuh warna.

Perhimpunan besar seperti itu di Allahabad pada 2013 menarik 120 juta penganut, kata penganjur dengan 30 juta terjun ke dalam air suci pada hari bertuah.

Hampir 30,000 anggota polis ditempatkan untuk memantau keadaan orang ramai, bagi mengelak berlakunya rusuhan.

Khemah menempatkan restoran dan pasar dibina di sepanjang sungai, dengan penganut berkhemah di sekitar 45km di zon khas untuk Kumbh. – AFP, 15 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen