INSIDEN bantahan di Zimbabwe sejak semalam, membantah keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api lebih dua kali ganda, dilaporkan meragut beberapa nyawa.
Bagaimanapun Menteri Keselamatan Kebangsaan Owen Ncube tidak mendedahkan jumlah sebenar mangsa yang terkorban.
Ncube dalam satu kenyataan menuduh pihak pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil sebagai dalang di sebalik bantahan berkenaan.
“Saya amat kesal kerana ia (bantahan) mengakibatkan nyawa terkorban dan berlakunya kemusnahan harta benda, malah ada anggota polis serta orang awam tercedera.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” lapor media tempatan yang memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Ncube.
Beliau berkata, setakat ini seramai 200 penunjuk perasaan ditahan kerana terbabit dengan bantahan itu.
Terdahulu, Persatuan Doktor bagi Hak Asasi Manusia Zimbabwe melaporkan sekurang-kurangnya 13 mangsa cedera akibat terkena tembakan ketika tunjuk perasaan berkenaan. – AFP, 15 Januari, 2019.
Komen