Umno mungkin mati, tapi semangatnya ada dalam parti Pakatan


Sheridan Mahavera

Seorang bekas pemimpin Umno berkata semangat parti Melayu itu ada dalam Bersatu, parti dalam PH, malah PKR yang pelbagai kaum juga ada genetik Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2019.

UMNO sebagai sebuah parti mungkin sudah mati menjelang pilihan raya umum akan datang tetapi semangatnya masih hidup di parti lain termasuk yang ada dalam Pakatan Harapan (PH), kata seorang bekas ahli Parlimen.

Tawfik Ismail, bekas pemimpin Umno dan ahli Parlimen Benut berkata ia menjadi trend yang membimbangkan dalam Malaysia Baharu.

Katanya, semangat itu ada dalam Bersatu, parti berasaskan hanya Melayu dalam PH, gabungan parti kerajaan baharu.

PKR, parti yang paling banyak memegang kerusi Parlimen dalam PH juga ada DNA Umno, kata Tawfik, walaupun parti itu pelbagai kaum.

“Umno hidup dalam Bersatu, dan ia menyerap ahlinya,” kata Tawfiq di seuah forum di Universiti HELP semalam, bertajuk “Membina Malaysia Baharu: Agenda dan Aspirasi”.

Tawfik merujuk kepada pemimpin dan ahli daripada parti nasionalis Melayu yang masuk ke Bersatu, dan mencetuskan perbalahan dalam PH.

Tawfik juga menyentuh tentang perhimpunan agung tahunan Bersatu baru-baru ini di mana pemimpin kanan parti mendesak kontrak kerajaan diberikan kepada ahli bagi membiayai aktiviti parti.

Beliau merujuk kepada Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman yang berkata kerajaan sepatutnya memberikan kontrak kepada ketua bahagian untuk membiayai parti dan membantunya menang pada pilihan raya akan datang.

Rashid dikecam ahli Pemuda partinya sendiri, yang berikrar akan menentang ahli Bersatu yang menerima kontrak kerajaan menerusi cara tidak mengikut undang-undang.

Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga berkata kerajaan akan mengabaikan saja desakan Rashid.

“Pemimpin seperti (Ketua Pemuda Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengkritik gesaan itu, saya tidak tahu berapa lama beliau akan bertahan,” kata Tawfik.

Ini kerana katanya, seperti Umno, pemimpin akar umbi Bersatu ada kuasa untuk mempengaruhi parti. – 15 Januari, 2019.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen