Isu kaum, ekonomi kebimbangan utama pengundi Felda di Jelai


Chan Kok Leong

Pengundi Felda bimbang tentang dua isu iaitu kaum dan ekonomi, menjelang PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Januari, 2019.

ISU kaum dan masalah ekonomi masih teratas dalam senarai kebimbangan pengundi Felda menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Beberapa penduduk tempatan yang ditemui The Malaysian Insight berkata isu kaum seperti himpunan anti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, Selangor.

Khairul Mohd, 50, yang menguruskan satu-satunya kedai piza di Felda Koyan 2 berkata kedua-dua insiden itu membimbangkannya.

“Himpunan terbaru dengan ICERD dan isu kuil di Selangor buat saya bimbang,” katanya yang baru pulang ke Felda Koyan 2, dua bulan lalu.

“Dan saya fikir ia jelas penduduk tempatan tidak akan mengundi calon bukan Melayu.”

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan peneroka.

Wan Rosdy, yang juga berasal dari kampung berhampiran Kuala Medang, ialah Adun Jelai.

Khairul berkata itu mungkin sebab mengapa Barisan Nasional (BN) meletakkan calon daripada masyarakat Orang Asli, Ramli Mohd Nor dalam PRK itu, bukannya calon MIC.

Khairul, yang juga generasi kedua peneroka, berkata BN kuat di Koyan dan isu kaum saja akan menyukarkan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran.

Kama Noorizzat Che Ibrahim yang membantu isterinya menjual air kelapa di simpang Jalan Tersang-Sg Koyan berkata, ekonomi faktor utama.

“Harga ayam di sini sangat tinggi iaitu RM9 sekilo berbanding dengan Kelantan yang puratanya sekitar RM6 sekilo,” kata pekerja Felda dari Gua Musang itu.

“Harga paling rendah beberapa bulan lalu ialah RM8.80 sekilo,” kata bapa kepada tiga anak yang masih bersekolah itu.

Kama, 37, berkata beliau tidak begitu peduli tentang parti politik tetapi kerajaan baharu perlu memastikan rakyat di kawasan pedalaman tidak merana.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru termasuk petani dan calon daripada masyarakat Orang Asli, daripada BN, PH dan calon bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2019.

Katanya, walaupun kerajaan menurunkan harga petrol baru-baru ini menerusi apungan secara mingguan, harga makanan masih belum turun.

“Jika ada pilihan raya umum lagi esok, PH pasti akan kalah,” kata Kama.

Kama berkata satu lagi isu ialah membabitkan harga minyak sawit.

“Walaupun saya tidak ada ladang, ibu mentua saya kadangkala terpaksa membayar lebih berbanding apa diterimanya ketika harga minyak sawit M400 setan,” katanya yang memperoleh pendapatan sekitar RM20 sehari daripada jualan kelapa.

Bagaimanapun, Abdul Aziz Ahmad berkata PH sepatutnya diberikan lebih masa untuk memperbaiki negara ini.

“Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mahu hapuskan rasuah dan kembalikan keadilan. Biarlah dia buat dan nilai bagaimana pencapaian PH dalam menunaikan janji manifestonya dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” kata bekas tentera berusia 83 tahun itu.

“Sesetengah masalah hari ini berpunca daripada Najib (bekas perdana menteri Najib Razak) dan tidak adil untuk salahkan semuanya pada PH,” kata Aziz.

Beliau yang datang dari Acheh bersama bapanya berkata adalah salah untuk mengaitkan isu perkauman dan agama dalam politik.

“Undi tidak sepatutnya dikaitkan dengan kaum dan agama kerana ia hanya politik dan perubahan parti. Undang-undangnya yang penting,” katanya.

Beliau yang datang ke Felda Koyan 3 pada 1977 berkata beliau berlawan dengan Jepun dan selepas itu komunisi.

“Mereka mulanya berlawan menentang Jepun tetapi kemudian dipaksa masuk hutan jadi komunis selepas British pulang,” kata Aziz dalam bahasa Kantonis.

Terdapat tiga penempatan Felda di Sg Koyan. Sementara yang pertama terdiri daripada penduduk Pahang, dua lagi penempatan dihuni bekas pesara tentera.

Kembali di gerai tepi jalan di Koyan 2, waktu sudah tengah hari pada hari Ahad dan Khairul masih belum terima sebarang tempahan pelanggan untuk membeli piza.

“Inilah keadaan ekonomi di sini sekarang di mana orang tidak berbelanja walaupun pada hujung minggu,” katanya yang pernah bekerja sebagai pengurus. – 15 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen