Pekerja kilang pakaian Bangladesh teruskan mogok tuntut naik gaji


Sebahagian pekerja kilang pakaian di Bangladesh melancarkan mogok bagi mendesak pihak kilang menaikkan gaji mereka. – Gambar AFP, 14 Januari, 2019.

PULUHAN ribu pekerja kilang pakaian di Bangladesh meneruskan mogok buat hari kelapan berturut-turut bagi mendesak kenaikan gaji dan menolak usaha kerajaan menamatkan pertikaian itu.

Mogok besar-besaran itu menyebabkan oeprasi industri pakaian di Bangladesh yang menjana pendapatan AS$30 bilion setahun, terjejas.

Bagaimanapun tiada keganasan dilaporkan berlaku hari ini.

Semalam seorang pekerja maut selepas polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata untuk meleraikan tunjuk perasaan kira-kira 5,000 pekerja.

Di Ashulia, dekat ibu negara Dhaka, polis turut menggunakan kenderaan berperisai untuk mengawal kilang-kilang pakaian di kawasan itu.

Mogok itu kini memasuki minggu kedua dan kerajaan masih menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kemelut antara kesatuan pekerja dan kilang supaya mencapai persetujuan menaikkan gaji pekerja.

Namun kenaikan yang diberikan oleh kilang adalah sebanyak AS$0.25, menyebabkan ramai pekerja berang dan menganggap rundingan itu tidak adil.

Mogok itu merupakan ujian besar pertama Perdana Menteri Sheikh Hasina sejak memenangi pengggal keempat pada pilihan raya 30 Disember lalu.

Dianggarkan terdapat empat juta pekerja Bangladesh yang bekerja di 4,500 kilang pakaian di negara itu. – AFP, 14 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen