SEBUAH pesawat kargo tentera terhempas berhampiran Tehran, Iran, kata tentera hari ini dengan media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 10 orang berada dalam pesawat itu.
Agensi berita Fars, yang dianggap mempunyai hubungan baik dengan tentera, berkata 16 orang berada dalam pesawat berkenaan dan hanya jurutera pesawat yang terselamat.
IRIB pula melaporkan yang 10 orang berada dalam pesawat tersebut, tetapi tidak melaporkan sekiranya wujud kematian.
“Pesawat kargo (Boeing) 707 membawa daging berlepas dari Bishkek di Kyrgyzstan dan mendarat cemas di Lapangan Terbang Fath pagi ini,” kata tentera dalam kenyataan.
Lapangan Terbang Fath terletak di daerah Alborz, timur Tehran.
“Ia terbabas daripada landasan ketika mendarat dan terbakar selepas melanggar tembok di hujung landasan,” kata tentera.
IRIB menyiarkan rakaman kawasan tersebut, dengan beberapa orang penyelamat sedang berada di sekitar pesawat terbakar itu.
“Butiran kejadian dan kematian atau kecederaan masih disiasat,” kata tentera. – AFP, 14 Januari, 2019.
Komen