KERAJAAN Pulau Pinang perlu menaikkan tarif air untuk menampung kos projek bekalan air yang berjumlah lebih setengah bilion ringgit bagi menjamin bekalan air di negeri ini pada masa depan.
Ketua menterinya, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata demikian ketika mengumumkan pelan perbadanan itu melabur sebanyak RM501 juta dalam projek bekalan air bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Projek yang akan dilaksanakan oleh PBAPP bermula tahun ini sehingga 2021 adalah Saluran Paip Bawah Air Berkembang Butterworth-Pulau Pinang, Skim Pemindahan Rawatan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS), menaiktaraf fasiliti rawatan air, dan pengurusan kadar air tidak berhasil (NWR)
Chow berkata tanpa projek kejuruteraan bekalan air, Pulau Pinang akan berdepan krisis bekalan air pada musim kemarau setiap tahun.
“Walaupun menaikkan tarif air, pendapatan itu mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos projek itu. Kita masih perlu mencari sumber lain untuk menampungnya.
“Namun kita berharap rakyat faham bahawa keperluan cadangan untuk menaikkan tarif air ini,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Minggu lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa tarif air mungkin akan naik di seluruh negara bagi melindungi kepentingan pengguna dalam mendapatkan bekalan air berkualiti dan menjamin perkhidmatan industri.
Kerajaan Pulau Pinang kemudiannya berkata kadar tarif air di negeri itu iaitu 32 sen untuk 35,000 liter pertama bagi pengguna domestik dan paling murah di negara ini, akan dinaikkan.
Chow berkata usul untuk menaikkan tarif air perlu diluluskan oleh Kabinet dan digazetkan sebelum tarif baharu diumumkan.
Katanya kerajaan negeri akan mengemukakan usul dan berunding mengenai kadar tarif air negeri itu.– 14 Januari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen