NILAI dagangan antara China dan Korea Utara menyusut pada tahun lalu ekoran sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Pyongyang.
Beijing merupakan sekutu utama Korea Utara yang bergantung kepada sumber dagangan dan bantuan dari China.
Namun PBB mengenakan pelbagai sekatan ke atas Pyongyang ekoran kedegilan Korea Utara meneruskan aktiviti nuklear dan program senjata balisitik.
Sekatan itu menyebabkan nilai perdagangan di Korea Utara menyusut sebanyak 52.4% pada tahun lalu berbanding 2017.
Import China dari sekutunya itu juga menurun sebanyak 88% pada 2018 kepada AS$210 juta manakala nilai eksport juga merosot 33.3% kepada AS$2.18.
Sekatan perdagangan PBB melibatkan larangan eksport utama negara itu iaitu arang batu, sumber mineral lain, perikanan dan produk tekstil.
Malah sekatan itu menyebabkan ekonomi negara berkuasa nuklear itu terjejas dengan menunjukkan penurunan sebanyak 3.5% pada 2017, iaitu paling buruk dalam tempoh dua dekad.
Industri perlombongan Korea Utara juga merosot 11% pada 2017 walaupun tahun sebelumnya mencatatkan pertumbuhan 8.4%.
Industri pembuatan juga terjejas dengan kemerosotan 6.9% pada tahun lalu manakala sektor perikanan dan pertanian turun 1.3%.
China dan Rusia sepakat bahawa PBB perlu menarik semula sekatan ke atas Pyongyang, tetapi Amerika Syarikat menggesa Korea Utara untuk menghentikan program nuklear jika mahu sekatan itu ditarik semula. – AFP, 14 Januari, 2019.
Komen