HAMPIR sejuta bangkai ikan ditemukan di sepanjang sungai utama Murray-Darling di timur Australia, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya pencemaran alam sekitar yang serius.
Kematian ikan dalam jumlah yang besar itu dipercayai berpunca akibat paras air sungai yang semakin cetek dan suhu panas meningkatkan jumlah alga secara mendadak dan menyebabkan kekurangan oksigen dan mencetuskan toksin.
Kerajaan New South Wales memberi amaran ramalan suhu panas sepanjang minggu ini dijangka memburukkan lagi keadaan apabila bangkai ikan itu mula mengeluarkan bau busuk.
Kejadian itu menjadi isu nasional dan mencetuskan kemarahan orang ramai yang mahu punca kematian ikan-ikan itu disiasat dan mengheret pihak yang bertanggungjawab.
Orang ramai menyalahkan kerajaan atas kematian ikan tersebut kerana gagal mengatasi masalah pencemaran pada sistem sungai di negara itu.
Parti pembangkang juga menggesa kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu tersebut. – AFP, 14 Januari, 2019.
Komen