Tangkapan, rampasan dadah 2018 paling tinggi dalam sejarah, kata KPN


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas polis sepanjang tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019.

POLIS menahan seramai 164,914 orang atas pelbagai kesalahan dadah, sepanjang tahun 2018, sekali gus menjadi jumlah penahanan paling tinggi dicatatkan dalam tempoh setahun,  kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Katanya, rampasan dadah berjumlah RM394.32 juta juga dicatatkan pada tahun lalu dan merupakan nilai rampasan paling besar dalam sejarah Malaysia.

“Dalam tempoh 20 tahun kita mewujudkan bahagian antinarkotik, rampasan tahun lalu adalah paling besar dalam sejarah.

“Jumlah rampasan harta dalam serbuan dadah pada tahun lalu juga mencatatkan sebanyak RM90 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.

Daripada jumlah yang ditahan, 155,316 merupakan rakyat Malaysia dan 9,598 adalah rakyat asing.

“Kita bimbang dengan jumlah dadah sintetik yang diseludup masuk ke negara ini.

“Berhubung kes dadah sintetik, polis berjaya merampas 4,587.18 kilogram (kg) methamphetamine, 217.13kg ketamin, 909.20kg of pil Eramin 5, 226.11kg Yaba and 143.66kg ekstasi sepanjang tahun lalu.

“Bagi dadah jenis tradisional, kita merampas 1,880.82kg ganja and 731.49kg heroin pada tahun lalu,” katanya.

Catatan kes penyeludupan dadah ke Malaysia pada awal tahun ini juga adalah tinggi apabila 6,197 orang ditahan dan dadah bernilai RM1.9 juta dirampas dalam tempoh 10 hari pertama 2019.

Fuzi berkata satu rampasan methamphetamine lebih besar dibuat selepas tempoh 10 hari pertama tahun ini melibatkan rampasan sebanyak 569kg dengan nilai RM28.47 juta dibuat pada Sabtu lalu di Perak. – 14 Januari, 2019.    
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen